Monday 30 September 2013

PAS gesa PRK DUN Sungai Limau sebelum pembentangan Bajet 2014



PAS menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan (DUN) Sungai Limau sebelum pembentangan Belanjawan 2014 untuk mengelakkan Putrajaya mengambil kesempatan "memancing undi”.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan, sekiranya PRK berkenaan dilaksanakan selepas sesi pembentangan belanjawan pada 25 Oktober depan, akan timbul persepsi kerajaan akan menggunakan platform berkenaan "menabur wang tunai bagi menarik pengundi".

"Sekiranya PRK Sungai Limau dilakukan selepas bajet, akan timbul persepsi kerajaan sengaja menggunakan pengumuman itu terutamanya melibatkan pemberian tunai untuk mempengaruhi pengundi.

"Malah, ia juga akan melihatkan seolah-olah SPR cuba bersekongkol dengan kerajaan," kata Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tegas beliau, ia juga bagi mengelakkan berlakunya pertembungan dengan Pemilihan Agung Umno dan juga Muktamar PAS yang ditunda ekoran berlakunya pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

"Pemilihan tarikh sebelum bajet juga boleh mengelakkan daripada berlaku pertembungan dengan pemilihan Umno dan Muktamar Pas yang tertangguh sebelum ini disebabkan PRU13.

"Kita harap SPR dapat ambil kira cadangan ini dan mengadakan mesyuarat dengan segera," tegasnya kepada pemberita.

Kekosongan kerusi DUN Sungai Limau berlaku selepas kematian penyandangnya Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak minggu lalu.

Azizan, yang juga bekas Menteri Besar Kedah selama sepenggal sejak 2008 meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis dan kegagalan fungsi organ dalaman.

Azizan meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar ketika berusia 69 tahun.

Azizan sebelum ini adalah Pesuruhjaya PAS Kedah sebelum diambil alih oleh Datuk Mahfuz Omar.

Beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah pada 9 Mac 2008 selepas PAS dan rakannya dalam Pakatan Rakyat, PKR dan DAP menang majoriti dalam DUN Kedah.

Namun kerajaan Kedah yang dipimpinnya tumbang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu apabila BN berjaya menang dengan majoriti di DUN Kedah.

Dua hari selepas itu, Azizan dimasukkan ke hospital dan menjalankan pembedahan pada kakinya.

Pada PRU13, Azizan menang di kerusi DUN Sungai Limau menewaskan calon BN, Mohd Fazilah Mohd Ali dan dua calon bebas, Sobri Ahmad dan Abdullah Hashim. – 30 September, 2013.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...