Monday 4 November 2013

Mukhriz Kesal Insiden Wanita Ditumbuk







YAN: Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kesal dengan insiden keganasan apabila seorang petugas Wanita Umno ditumbuk oleh seorang penyokong PAS di Ulu Sedaka di sini, awal pagi Isnin.

Menurut Mukhriz, insiden tersebut mencemari budaya 'politik damai' yang diamalkan sejak hari pertama berkempen pada 23 Oktober lalu.



"Saya terima laporan bahawa salah seorang jentera Wanita kita telah ditumbuk oleh seorang pemuda PAS.

"Ini sangat-sangat mengecewakan kita kerana apa yang digembar-gemburkan sebagai politik damai dicemari dengan insiden seperti ini," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan tinjauan di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Bukit Besar di sini.

Sejak proses pengundian dibuka tepat pukul 8 pagi, beberapa insiden ketegangan berlaku membabitkan penyokong Barisan Nasional (BN) dan PAS termasuk 'perang mulut' antara kedua-dua parti politik.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Pengerusi BN Kedah menyeru pengundi yang masih belum menunaikan tanggungjawab mereka supaya berbuat demikian tanpa menunggu hingga saat akhir.

"Saya bimbang mengenai kesesakan lalu lintas. Ini mungkin menghalang pengundi daripada keluar untuk mengundi. Jadi kita harap pengundi keluar mengundi seawal mungkin," katanya.

Sunday 3 November 2013

PRK Sungai Limau: PAS perlu kutuk insiden pasang patung kaki - Shabery



YAN: Pemimpin PAS diminta tampil membuat kenyataan mengutuk perbuatan memasang patung provokasi berhampiran beberapa pusat gerak kerja Barisan Nasional (BN) semalam dan menafikan PAS terbabit dalam insiden berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata perbuatan itu sangat dikesali dan BN sudah membuat kenyataan menafikan pembabitan dalam insiden berkenaan.                  
"Perbuatan ini tak boleh diterima akal, apatah lagi jauh daripada adab sopan kita sebagai umat Islam dan etika pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, di sini, hari ini.

Semalam, beberapa patung kaki itu digantung berhampiran khemah BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Bukit Besar, Titi Batu dan Simpang Tiga, Sungai Limau Luar dekat sini.

Difahamkan patung dari paras pinggang ke bawah dengan sebelah kaki dipotong serta tertera perkataan 'kaki ustaz', seolah-olah menggambarkan keadaan bekas wakil rakyat Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang sebelum ini menjalani pembedahan memotong kaki akibat penyakit kencing manis.

Sehubungan itu, BN membuat laporan polis berkenaan perkara itu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan pembabitan BN.

Ahmad Shabery berkata, beliau tidak fikir penyokong BN akan membuat tindakan itu dengan meletakkannya berhampiran bilik gerakan mereka sendiri.
"Orang yang membuat ini menggunakan kaedah kempen sampai tidak boleh diterima akal, yang melampaui batas-batas kemanusiaan dan adab sopan kita. Saya ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Jamil Khir yang cepat-cepat mengutuk perbuatan itu dan menafikan ia daripada BN.

"Ia bukan datang daripada orang BN, kita nafi dan kutuk perbuatan sedemikian. Pihak PAS juga perlu mengutuk perbuatan itu. Kalau ada tindakan undang-undang kita ambil," katanya. - BERNAMA

Wujud Angin Perubahan Sokong BN - Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (dua, kiri) bersama Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir (kanan) mempengerusikan Taklimat Kesiapsiagaan Jentera Pilhan Raya Kecil menjelang hari mengundi di Bilik Gerakan Barisan Nasional Sungai Limau, Yan, Ahad. -fotoBERNAMA


YAN: Kurang 24 jam sebelum tempoh berkempen berakhir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin angin perubahan di kalangan pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau sedang berlaku ke arah menyokong Barisan Nasional (BN).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, kejayaan jentera BN memasuki beberapa kubu kuat pembangkang menunjukkan masyarakat di DUN Sungai Limau bersikap positif dan terbuka terhadap BN.

"Saya yakin angin sudah bertiup ke arah BN. Tak perlu saya sebutkan macam mana. Tapi apa yang pasti kita berjaya tembusi semua kubu-kubu PAS.

"Sekarang BN sudah boleh bawa masuk jentera kita sama ada wanita, pemuda ataupun puteri. Daripada hasil pertemuan itu mereka bagi keyakinan untuk membantu kita," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat jentera BN di Bilik Gerakan BN PRK Sungai Limau di sini, Ahad.

Mengulas lanjut Muhyddin berkata, kesungguhan yang ditunjukkan jentera BN berjaya menambat hati pengundi khususnya bagi membantu memenangkan parti itu.

"Saya lihat ada suasana yang lebih positif ke arah membantu BN. Kerana mereka lihat kesungguhan, keikhlasan kita termasuk di kawasan pengundi Cina. Jadi ini perkara yang utama sedang berlaku," katanya.

Ditanya sama ada BN meletakkan sebarang angka sasaran untuk menang pada pilihan raya ini, Muhyiddin berkata: "Kami ada angka sendiri berdasarkan data yang diperolehi dari bawah, tak perlu saya maklumkan.

"Saya sudah beritahu kepada jentera, dalam tempoh beberapa jam sehinggga hari mengundi esok, inilah tempoh yang paling kritikal. Jentera parti perlu bekerja keras."

Ribut Petir Diramal Petang Esok Di DUN Sungai Limau


 
YAN: Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tiada hujan di sebelah pagi pada hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau esok.

Bagaimanapun, ribut petir diramalkan pada sebelah petang, kata jurucakap jabatan itu ketika dihubungi Bernama, Ahad.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dan calon PAS Mohd Azam Abdul Samat, 37.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, lebih 90 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar bagi PRK DUN Sungai Limau dijangka keluar mengundi esok berbanding 89 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei lepas.

Beliau berkata kadar peratusan yang positif itu berdasarkan kepada semangat yang dilihat sepanjang tempoh berkempen yang berkonsepkan kekeluargaan. - BERNAMA

Pembangkang Main Psikologi - Muhyiddin


YAN: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan pembangkang cuba bermain psikologi apabila hanya meletakkan sasaran untuk menang di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan majoriti kecil.

Menurut Muhyiddin, taktik pembangkang itu bertujuan meraih simpati pengundi selepas menyedari Barisan Nasionl (BN) berjaya menembusi beberapa kubu kuat PAS.

"Mereka (PAS) kata majoriti yang akan diperolehi merosot...tapi ini semua mainan psikologi.
"Tapi bagi kita (BN), kami yakin walaupun katanya Sungai Limau adalah kubu kuat mereka. Tapi sebenarnya tidaklah kubu sangat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Pasar Tani Sungai Limau Dalam di sini, Ahad.

Sebelum ini PAS mengumumkan bahawa parti hanya meletakkan sasaran untuk menang sekurang-kurang majoriti mudah sebanyak 500 undi.

Sementara itu mengulas mengenai peluang BN untuk menang di DUN Sungai Limau, Muhyiddin berkata parti itu mempunyai peluang yang cerah berdasarkan gerak kerja jentera parti itu.
"Kalau tanya saya sebagai pengarah besar pilihan raya ini, saya katakan peluang kita untuk menang adalah amat cerah," katanya. - Mstar.

Saturday 2 November 2013

MAIK diarah bertindak, khatib luar baca khutbah politik


Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mengarahkan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) mengambil tindakan terhadap khatib beberapa masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang membenarkan khatib dari luar menyampaikan khutbah Jumaat berbaur politik.

Mukhriz berkata arahan itu bertujuan menjaga keharmonian perpaduan umat Islam di negeri ini.
  
"Perkara itu memang ditegah. Maka khatib masjid-masjid berkenaan kena jawab, mereka akan diberikan surat tunjuk sebab kenapa tindakan tidak boleh dikenakan terhadap mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup nelayan sebanyak RM200 setiap seorang kepada 396 nelayan DUN Sungai Limau di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau di Yan hari ini.
  
Kata Mukhriz, beliau menganggap penyalahgunaan masjid itu sebagai serius kerana mereka yang terlibat mengingkari titah Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah yang semasa merasmikan Persidangan DUN Kedah Ogos lepas, melarang masjid digunakan selain bagi tujuan ibadat dan aktiviti merapatkan keharmonian masyarakat.
  
Beliau melahirkan rasa kecewa kerana peringatan itu turut dikeluarkan sekali lagi dua minggu lepas sebelum penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau oleh MAIK secara bertulis dan lisan, namun tidak dipatuhi.

"Saya terima laporan bahawa ada dua tiga masjid sewaktu solat Jumaat dijemput khatib dari luar yang saya kira tidak dapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam dan telah menyampaikan khutbah bersifat politik.
  
"Bukan setakat itu ada juga kenyataan-kenyataan dalam khutbah itu yang bersifat kritis terhadap kerajaan malah disambung doa yang diaminkan oleh jemaah di mana juga, didoakan kemenangan bagi pihak satu lagi," kata Mukhriz.
  
Menteri besar berkata beliau tidak berniat mempolitikkan perkara ini namun menegaskan bahawa masjid perlu menjadi institusi agama yang neutral.
  
"Dalam kempen sudah tentu akan ada anggota kempen dari luar, pihak kami pun ada tetapi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beberapa kali datang ke sini (masa kempen PRK), dia sendiri pun yang bila ke masjid dia tak berucap dia cuma tunaikan solat kemudian beredar, tidak langsung berucap jauh sekali berkempen," katanya.
  
Di majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan program pembangunan usahawan bimbingan dan skim bantuan bencana alam dan kebajikan nelayan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta lesen sampan, lampu suluh dan baju hujan daripada Jabatan Perikanan.
  
- Bernama

PKR yakin ada lonjakan sokongan kepada PAS

JERAI: Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul yakin dengan perancangan serta gerak kerja yang dilakukan membabitkan lima daerah mengundi di kawasan kubu kuat Umno akan ada lonjakan sokongan kepada PAS.

Lima daerah mengundi iaitu membabitkan Unit Peti Undi (UPU) Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kechil dan Dulang Besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), PAS mengalami kekalahan di lima UPU tersebut.

Bercakap pada sidang media di Markas Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Johari menjelaskan gerak kerja yang dilaksanakan PKR berjalan seperti yang telah dirancang.

"Strategi kita berjalan dengan lancar seperti ceramah dan juga pertemuan dengan pengundi-pengundi di semua peringkat lapisan.

"Dalam pada itu kita turut mengadakan pemeriksaan kesihatan di kelima-lima UPU tersebut dan sambutan yang kita perolehi amat memberangsangkan.

"Saya pasti dan berkeyakinan dengan apa yang kita perolehi sepanjang kempen yang hanya tinggal dua hari lagi akan ada satu lonjakan sokongan pengundi dari UPU yang dikatakan kubu kuat Umno itu," jelasnya yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani.

Katanya lagi, PKR akan mempertingkatkan lagi gerak kerja bagi memastikan pada PRK kali ini Pakatan Rakyat terutamanya PAS berjaya menembusi kelima-lima UPU tersebut.

Johari yang meminta pengundi berwaspada dan bersikap matang dalam membuat pemilihan pada hari pengundian nanti apabila Umno akan menggunakan pelbagai helah termasuk memberi bantuan dan duit kepada pengundi di saat-saat akhir tempoh berkempen.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar juga yakin pada PRK kali ini satu lonjakkan baru akan berlaku.

Katanya, PAS yakin dengan kemampuan dan segala perancangan yang dilakukan, PKR dapat menembusi kubu kuat Umno dan seterusnya memberi peningkatan sokongan kepada calon PAS pada 4 November nanti.

Tiada Keperluan Jentera BN Berpakaian Seperti PAS Untuk Berkempen - Khairy

Khairy (kanan) ketika menyampaikan ucapan kepada pengundi muda pada program turun padang bertemu pengundi muda dalam DUN Sungai Limau di Taman Mahsuri, Sungai Limau Dalam di Yan, Jumaat malam. -fotoBERNAMA

YAN: Tiada keperluan untuk jentera Barisan Nasional di Sungai Limau berkempen dengan memakai pakaian seperti PAS, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, beliau berkata, jentera pergerakan itu dapat memasuki kubu kuat PAS walaupun berpakaian warna biru.

"Tidak ada kebenaran dalam dakwaan tersebut. Tidak ada keperluan untuk jentera BN berpakaian seperti ahli-ahli PAS untuk berkempen, setakat ini kami mendapat sambutan yang baik daripada penduduk tempatan walaupun memakai pakaian dengan warna-warna BN," kata beliau selepas menghadiri aktiviti permainan tradisional di SK Dulang di sini Sabtu.

Beliau mengulas laporan 'online' bahawa jentera BN telah memilih untuk berjubah dan berkopiah dalam usaha terdesak untuk memasuki kubu kuat PAS.

Khairy juga memberi amaran kepada jentera BN supaya berwaspada dengan taktik kotor yang boleh digunakan oleh PAS pada hari-hari terakhir kempen itu termasuk dakwaan pengundi hantu.

Beliau berkata, adalah perkara biasa bagi pembangkang untuk mencuba dan mencipta isu-isu yang akan memanaskan kempen pilihan raya.

Khairy menggesa jentera BN supaya tidak termakan umpan.

"Malah, (tuduhan) pengundi hantu pada pilihan raya umum tidak terbukti. Saya berharap tidak akan ada satu kejadian di mana bas disyaki membawa pengundi hantu berhenti di Sungai Limau," katanya.

Apabila ditanya mengenai rancangan PAS untuk membawa penceramah agama Ustaz Azhar Idrus untuk mengadakan ceramah pada malam terakhir kempen, Khairy berkata ceramah itu bertujuan untuk kempen PAS.

Beliau berkata walaupun Ustaz Azhar adalah seorang penceramah agama, ceramah beliau juga akan memasukkan sokongan untuk PAS, dan menggesa penduduk Sungai Limau untuk tidak dipengaruhi oleh ceramah berkenaan.

Penting Tangani Pembohongan Pembangkang Dengan Pantas - Puteri Umno



MELAKA: Pendekatan Puteri Umno menangani pembohongan pembangkang dengan pantas dapat menarik sokongan pengundi muda kepada Barisan Nasional (BN) apabila mereka dapat membezakan antara maklumat yang benar dan palsu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Ketuanya Mas Ermieyanti Samsudin berkata dalam era teknologi maklumat yang berkembang pesat sekarang adalah penting bagi pengundi muda mengetahui perkara sebenar tentang sesuatu isu yang dilaporkan bagi membolehkan mereka memilih pemimpin terbaik mewakili mereka.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Masjid Tanah berkata pergerakan itu juga berusaha gigih mematahkan fitnah dan dakyah pembangkang yang dilemparkan kepada BN terutamanya di media sosial melalui ceramah dan perjumpaan dengan pengundi.

"Menjadi tanggungjawab kami untuk bekerja keras memperbetul segala fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang dan menerangkan maklumat sebenar," katanya ketika dihubungi Bernama.

Isnin ini, 27,222 pengundi di DUN Sungai Limau akan memilih wakil baharu mereka antara calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat bagi mengisi kekosongan kerusi penyandang, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Mas Ermieyanti berkata selain ceramah dan pertemuan rumah ke rumah, pergerakan itu turut mendekati pengundi yang berada di luar kawasan menerusi telefon, media sosial dan juga khidmat pesanan ringkas.

Setakat ini, pergerakan itu telah mendekati lebih separuh daripada 11,000 pengundi muda berusia bawah 40 tahun, dengan 5,662 daripadanya wanita. - BERNAMA

PRK Sungai Limau: BN Buat Laporan Polis Berhubung Patung Provokasi



YAN: Barisan Nasional (BN) membuat laporan polis berhubung patung-patung provokasi yang diletakkan berhampiran beberapa pusat gerak kerja parti itu pada Sabtu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Ketua Umno bahagian Jerai, DatukSeri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya menerima laporan terdapat patung kakiberhampiran khemah BN di tiga kawasan tengah hari Sabtu.

"Saya berasa amat kesal dengan perbuatan provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini satu perkara yang tidak wajar berlaku," kata anggota Parlimen Jerai itu dalam sidang media khas di Bilik Gerakan BN di Sungai Limau Dalam dekat sini, Sabtu.

Beliau berkata, menurut sumber parti patung-patung kaki itu digantung berhampiran khemah BN di Bukit Besar, Titi Batu dan Simpang Tiga, Sungai Limau Luar dekat sini.

Difahamkan patung dari paras pinggang ke bawah dengan sebelah kaki dipotong serta tertera perkataan 'kaki ustaz', seolah-olah menggambarkan keadaan bekas wakil rakyat Sungai Limau Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang sebelum ini menjalani pembedahan memotong kaki akibat penyakit kencing manis.

Jamil Khir berkata, BN menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dalang di sebalik perkara itu, selain menolak dakwaan yang perkara itu merupakan perbuatan sabotaj kalangan anggota parti itu sendiri.

Beliau dalam pada itu merayu masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Limau termasuk anggota jentera BN berwaspada akan sebarang strategi berbentuk serangan atau provokasi menjelang waktu-waktu terakhir kempen Pilihan Raya Kecil kawasan itu yang akan diadakan Isnin ini.

Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim mencabar calon PAS Mohd Azam Abdul Samat untuk kerusi DUN Sungai Limau yang kosong ekoran kematian Azizan pada 26 September lepas. - BERNAMA

'DAP iri hati kemampuan BN'



Shafie bidas tindakan politikkan isu bantuan sekolah Cina

Yan: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membidas DAP kerana mempolitikkan bantuan segera kepada sekolah Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
                 
Beliau berkata, parti pembangkang itu seolah-olah iri hati dengan kemampuan BN yang berjaya menunaikan setiap janji kepada rakyat termasuk dalam pembangunan pendidikan.                  

“Saya kesal dengan tindakan DAP yang sering tidak puas hati dengan BN. Bila kita bagi bantuan kepada sekolah Cina, mereka (DAP) pertikai kemampuan kita bantu masyarakat Cina, sedangkan BN tak pernah bezakan rakyat, tak kira siapa perlukan bantuan, kita bantu.

“Kebetulan mereka (sekolah Cina) mohon bantuan pendidikan, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin luluskan. Itu memang tanggungjawab beliau selaku Menteri Pendidikan dalam memastikan bidang pendidikan negara mencapai tahap membanggakan. Kenapa DAP hendak pertikai?,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda DAP Kedah, Teoh Boon Kok yang menuduh BN cuba memancing undi pengundi Cina di Sungai Limau, susulan pengumuman Muhyiddin mengenai bantuan RM2.35 juta untuk sekolah Cina di sekitar DUN Sungai Limau.

Diterima baik

Sementara itu, keputusan kerajaan menyediakan bantuan tambahan untuk tiga sekolah Cina di Sungai Limau diterima baik tenaga pengajar dan komuniti Cina di sini.

Pengetua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yuk Min, Chen Chiak Tong menyifatkan bantuan berkenaan tepat pada waktunya kerana keadaan sekolah terbabit agak uzur seperti retak pada dinding bangunan dua tingkat itu dan bumbungnya juga bocor.

“Sekolah ini dibina pada 1920 dan kali terakhir diubah suai pada 2000. Sebelum ini, pengurusan sekolah juga terpaksa menolak permohonan kemasukan pelajar kerana kekurangan bilik darjah,” katanya yang menyambut baik peruntukan RM750,000 kepada sekolah berkenaan.

Parti Yang Menang Di Sungai Limau Dapat Kelebihan Jangka Panjang - Penganalisis



YAN: Walaupun Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Isnin ini, tidak akan mengubah stuktur kerajaan negeri Barisan Nasional (BN), tetapi keputusannya memberi impak yang besar kepada BN dan PAS dalam jangka masa panjang.

Bagi penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, walau apa pun alasan dan persepsi PRK ini, kedua-dua parti tetap berusaha bersungguh-sungguh untuk menang.

BN mahu menang kerana kemenangan ini akan memberi impak besar kepada BN kerana DUN Sungai Limau adalah kubu kuat PAS dan kawasan bekas Menteri Besar dari PAS iaitu Tan Sri Azizan Abdul Razak, kata Dr Mohd Azizuddin yang juga Dekan Fakulti Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) kepada Bernama di sini.

"Kalau PAS kalah ia satu tamparan besar kepada PAS. Pemimpin PAS dan ahlinya akan lemah semangat. Ini beri kekuatan dari segi psikologi kepada BN, dan rakyat akan beri pernyataan sah yang lebih mantap lagi khususnya kepada agenda pembangunan Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu," katanya.

Dr Mohd Azizuddin berkata walaupun kempen kedua-dua pihak dilihat kurang agresif selepas proses penamaan calon pada 23 September lepas, sebenarnya ia agresif tanpa tidak ditunjukkan kerana kedua-dua parti menyedari akan sentimen tempatan, dan kerana itu penampilan calon-calon dilihat sederhana.

"Ini kerana penduduk di DUN Sungai Limau agak konservatif dan cara hidup bersederhana. Jadi penampilan calon perlulah bersederhana. Yang saya bimbang orang luar yang berkempen cara agresif tapi tak faham pendekatan dan cara hidup di DUN Sungai Limau. Kesopanan dan tatasusila kena jaga ketika berkempen di sana," kata Dr Mohd Azizuddin.

Beliau berkata peluang kedua-dua parti pada PRK kali ini dilihat seimbang walaupun DUN Sungai Limau dikatakan kubu kuat PAS sejak 1995.

"Peluang untuk BN menang ada dan BN kena tumpukan kempen kepada pengundi muda yang berada di luar, serta pengundi Cina di pekan. Ada kecenderungan mereka kembali menyokong BN," katanya.
Untuk rekod daripada 27,222 pengundi, kedua-dua parti iaitu PAS dan B Nmempunyai anggota yang hampir sama banyak sebagai pengundi, dan pengundi atas pagar pula kira-kira 24 peratus yang akan menjadi penentu pada Isnin ini.

DUN Sungai Limau mungkin dilihat sebagai kubu kuat PAS kerana diwakili oleh Azizan sejak 1995 dan merupakan Menteri Besar Kedah bagi tempoh satu penggal iaitu dari 2008 hingga Mei lepas.
Namun fakta menunjukkan DUN Sungai Limau, sebelum pilihan raya umum 2004 dikenali sebagai DUN Sala, bukan hak milik mutlak mana-mana parti kerana wakil rakyat di kawasan itu sering silih berganti antara wakil BN dan PAS.

PAS dalam usahanya mengekalkan kerusi DUN itu telah memainkan hubungan calonnya Mohd Azam Abd Samat sebagai anak didik Azizan dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya, malah telah menggunakan gambar dan nama Azizan dalam kempennya.

Dalam ketaksuban mereka mempamerkan hubungan yang akrab antara Azizan dan Mohd Azam sehingga sanggup mengeluarkan risalah calon dengan menggunakan gambar calon menggantikan wajah seorang daripada dua wartawan kanan akhbar Sinar Harian yang mengunjungi Azizan pada 2011.

Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim, walaupun bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris dilihat tidak menonjolkan diri, dan menjalankan kempen lebih kepada bersemuka yang memenuhi "selera" penduduk tempatan.

Bagi Dr Mohd Azizuddin strategi calon BN berkesan berbanding strategi PAS yang "lebih menampakkan macam mereka terdesak kerana masih gunakan Ustaz Azizan."

Mukhriz, yang juga Pengerusi BN Kedah, baru-baru ini menyatakan keyakinannya yang BN akan diterima penduduk DUN Sungai Limau kerana hanya parti itu yang mampu membawa pembangunan ke kawasan itu.

Walaupun BN kalah di DUN Sungai Limau sejak Pilihan Raya Umum 1995, rakyat perlu melihat kesungguhan BN untuk memajukan Kedah selepas kembali menerajui negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu, katanya.

"Kami parti yang menunaikan janji. Selepas menang, saya dan barisan exco berusaha gigih untuk membangunkan Kedah. Ini (pembangunan) memang diperlukan dan dituntut oleh rakyat. Kami tawarkan (apa yang boleh dibuat), sekiranya boleh diterima rakyat di Sungai Limau," katanya.

Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar pula berkata tinjauan terkini parti itu menunjukkan PAS mampu mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau dengan majoriti yang kurang, iaitu hanya 500 undi.

PRK kali ini sebenarnya bukan sahaja, pertembungan antara BN dan PAS, bukan sahaja antara Dr Sohaimi dan Mohd Azam, tetapi juga antara Mukhriz dan Mahfuz, yang baharu sahaja dilantik mengetuai parti masing-masing di peringkat negeri selepas PRU13 Mei lepas. - BERNAMA

Friday 1 November 2013

'Lebih baik tonton Tanda Putera dari ceramah PAS'


Di hari-hari terakhir menjelang pengundian pilihan raya kecil Sungai Limau, BN kini memulakan tayangan filem kontroversi Tanda Putera di bilik gerakannya.

Ditayangkan dengan layar besar, buah tangan pengarah Shuhaimi Baba ditayangkan menggunakan sistem bunyi yang canggih sehingga dapat didengar hingga ke jalan raya berdekatan.

NONEIa ditayangkan di pusat operasi BN dan pondok yang kebetulan berdekatan dengan markas lawan mereka PAS.

Malaysiakini mengesan tayangan itu dibuat di Pekan Sungai Limau Dalam, sebuah kawasan majoriti Cina dengan kira-kira 1,800 pengundi.

Difahamkan, tayangan akan turut dibuat esok di Sekolah Kebangsaan Sungai Daun Tengah, yang terletak 4.7km dari Sungai Limau.

Bagaimanapun, Gerakan, yang disasarkan dalam beberapa insiden keganasan dalam filem itu tidak merasakan apa-apa masalah dengan langkah itu.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang (atas) mencadangkan pemilih di Sungai Limau menontonnya daripada mendengar ceramah PAS.

Antara lain, katanya, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menetapkan pendiriannya berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam siri-siri ceramah mereka.

"Mereka berbolak balik dalam isu dan berbeza pendapat berhubung GST," kata Tan kepada Malaysiakini.

"Saya tidak nampak apa-apa salah dengan filem itu, Barangkali, dengan Umno menayangkannya, mereka dapat tarik undi buat calon."

PAS Persoal Peruntukan Kecil Kerajaan Pusat


YAN: PAS mendakwa Barisan Nasional (BN) ketandusan dana apabila hanya mengumumkan peruntukan keseluruhan sebanyak kira-kira RM15.15 juta bagi pembangunan projek di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, jumlah berkenaan adalah lebih rendah berbanding ketika BN berhadapan Pilihan Raya Kecil Kuala Besut pada Julai lalu.

"Sehingga kini pemantauan kami mendapati Umno dan BN masih menggunakan senjata tradisi mereka dengan mengumumkan pelbagai bantuan segera kepada pengundi di Sungai Limau.
"Namun pimpinan Umno dan BN tidak menunjukkan keghairahan mereka kerana sudah ketandusan dana," katanya di sini, Jumaat.

Mahfuz yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Sungai Limau menggunakan perbandingan PRK Kuala Besut apabila kerajaan Persekutuan dilaporkan mengumumkan peruntukan projek pembangunan sebanyak RM377 juta.

Sebelum ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan beberapa peruntukan termasuk sebanyak RM1.3 juta kepada 13 sekolah di kawasan DUN Sungai Limau.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM118,000 untuk tiga persatuan guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa), guru takmir dan persatuan pegawai masjid di DUN Sungai Limau.

Ia termasuk peruntukan sebanyak RM10,000 kepada setiap persatuan terbabit. - Mstar.

PRK Sungai Limau: Pengundi Perlu Pertimbang Lima Perkara


YAN: Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau perlu mempertimbang lima perkara untuk memilih calon dalam pilihan raya kecil Isnin ini bagi memastikan kawasan itu dapat dimajukan, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata Dr Ahmad Sohaimi Lazim, calon Barisan Nasional(BN) mampu melengkapkan empat perkara yang mereka sudah miliki bagi menjamin pembangunan di kawasan itu.

Katanya selain mempunyai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berwawasan dan dasar kerajaan BN yang baik, mereka juga mempunyai anggota Parlimen Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Pemilihan Ahmad Sohaimi sebagai wakil rakyat mereka akan melengkapkan lima perkara ini bagi membawa kebaikan dan pembangunan kepada penduduk DUN ini, katanya kepada Bernama selepas menghadiri program ramah mesra bersama penduduk Kampung Seberang Jaya 2, dekat sini Jumaat.
"Lima perkara ini sudah cukup untuk rakyat di sini berfikir dan sekali gus berani berhijrah. Hidup kita ni tidak cukup hanya dengan ceramah, ziarah.

"Hidup kita ini ingin berubah dan perubahan itu hanya boleh dibuat kerajaan pusat (BN) dan kerajaan negeri," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata kempen berbaki tiga hari ini akan dimanfaatkan BN sepenuhnya dengan mengadakan lawatan dan ceramah dari rumah ke rumah selain berkunjung ke 19 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya tumpuan juga akan diberikan kepada pengundi atas pagar dan pengundi muda yang dilihat mampu membuat perubahan dalam pilihan raya kecil Isnin ini. - BERNAMA

Pengundi wanita penting dalam tentukan hala tuju Sungai Limau - Pemerhati



YAN: Sama ada mereka hanya suri rumah atau bekerja, wanita hari ini rata-rata lebih berilmu, justeru peranan pemilih wanita yang meliputi 52 peratus daripada 27,222 pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau amat penting dalam menentukan hala tuju DUN itu 4 November ini.

Namun, pemerhati politik, Prof Datuk Dr Ramlah Adam juga yakin pemilih wanita di kawasan itu bijak dan berfikiran terbuka selain banyak membaca dan prihatin dengan perkara-perkara baru.                  
Rata-rata wanita kini, terutama di kawasan luar bandar, memilih kestabilan dan kemakmuran, selain mementingkan pembangunan yang dapat memberi manfaat kepada anak cucu mereka pada masa hadapan, katanya kepada Bernama.                

Ramlah yang juga Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, berkata beliau mendapati pemilih wanita hari ini membuat keputusan sendiri dalam menentukan pemimpin, tanpa dipengaruhi oleh sesiapa.

"Mereka juga lebih berani dalam menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Pandangan Ramlah itu mungkin ada kebenarannya.

Suri rumah Roziah Hasan, 45, memberitahu Bernama, beliau memilih pemimpin yang diyakini dapat membawa pembangunan dan masa depan yang baik untuk dirinya dan keluarga.

Penduduk Kampung Kabu 10, dekat sini itu berkata, keputusannya juga tidak dipengaruhi sesiapa dan dibuat berdasarkan pemerhatian sendiri walaupun ibu bapanya berpegang pada ideologi politik yang berbeza.

Hatun Md Rejab, 62, pula berkata sekalipun ada yang datang berkempen, bercerita mengenai hasrat mereka andai menang, beliau sudah membuat keputusan sejak sekian lama.

"Kalau depa (mereka) nak kempen, mak cik dengarlah...tapi kalau depa (mereka) harap mak cik tukar parti, minta maaflah," katanya yang bekerja sebagai peniaga.

Bagi ibu tunggal kepada tiga anak, Zainab Idris, 58, beliau memilih parti yang bukan sahaja dapat memperjuangkan golongan sepertinya tetapi juga mempunyai kemampuan untuk membantu, bukan sekadar berjanji. - BERNAMA

MB Akan Jadi Adun Angkat Sungai Limau Jika BN Menang - Mukhriz




YAN: Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata beliau akan menjadi anggota Dewan Undangan Negeri angkat Sungai Limau sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pilihan raya kecil DUN itu pada 4 November.

Beliau berkata sekiranya BN diberi mandat, penduduk setempat bukan sahaja akan mendapat calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang mempunyai ijazah kedoktoran sebagai Adun, tetapi juga menteri besar sebagai Adun angkat yang akan memberi perhatian istimewa kepada mereka.

Pengerusi BN Kedah itu berkata ia juga selari dengan slogan PRK PAS iaitu 'Kekal', kerana penduduk DUN Sungai Limau akan turut memiliki seorang Adun menteri besar seperti sebelum ini semasa Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menjadi Menteri Besar Kedah selepas pilihan raya umum ke-12.

Mukhriz berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui tengah malam tadi sebelum bermalam di rumah keluarga angkatnya di Permatang Buluh, dekat sini.

"Pihak lawan menggunakan slogan Kekal, saya cuba nak faham apa maksudnya, dahulu kerana Adunnya bekas menteri besar...kalau nak kekalkan dengan calon PAS sekarang, maka DUN ini akan dapat wakil rakyat mewakili pembangkang," katanya.

"Maka itu satu perbezaan yang begitu ketara sekali dan tidaklah bersifat kekal, oleh kerana itu saya cadangkan kalau diberikan mandat ini kepada BN, barulah akan ada seorang Adun yang juga daripada parti memerintah dan saya sendiri melantik diri saya sebagai Adun angkat...maka itu paling terdekat kepada mengekalkan keadaan yang terdahulu," katanya.

Mukhriz berkata keputusan itu dibuatnya sendiri sebagai Menteri Besar dan perkara biasa dilakukannya bagi beberapa DUN yang BN pernah kalah sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, mengenai kempen PRK DUN Sungai Limau yang berbaki tiga hari lagi, Mukhriz berkata sehingga hari ini perjalanan kempen bergerak lancar, dan BN telah bertindak cepat mengatasi sebarang masalah yang diterima daripada masyarakat setempat.

"(Tinggal lagi) ke depan ini kita (BN) nak pastikan semua jentera kita memahami tugas dan tanggungjawab pada Isnin ini, sebab hari itu agak kritikal kita nak jentera kita mantap pada hari itu, dari segi membantu pengundi datang ke pusat mengundi pada waktu ditetapkan seawal mungkin," katanya.

PRK DUN Sungai Limau Isnin depan diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi penyandang, Allahyarham Azizan, dan menyaksikan pertandingan antara Ahmad Sohaimi dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

- BERNAMA

PAS Sengaja Timbulkan Buruk Sangka Isu GST - Mukhriz



YAN: PAS disifatkan sebagai parti yang terdesak dan tidak bertanggungjawab apabila sengaja menimbulkan kekeliruan terhadap rakyat mengenai perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan pembangkang itu dilihat seolah-oleh merendahkan tahap pemikiran pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berhubung kepentingan sistem percukaian baru itu.

"Kerja pembangkang lebih mudah kerana mereka hanya perlu timbulkan buruk sangka terhadap sistem kutipan cukai yang diamalkan oleh lebih 160 buah negara termasuk negara Asean kecuali Malaysia dan Myanmar.

"Jadi apabila mereka guna taktik begitu ia seolah-oleh memperlekehkan kebijaksanaan pengundi. Tapi saya yakin pengundi di sini lebih matang dan faham," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Malaysia Automotif Institut sebagai Industrial Lead Body untuk Program Pentauliahan Pencapaian Terdahulu dan Sistem Latihan Dual Nasional bagi Zon Utara di Markas Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Limau di sini, Jumaat.

Mengulas mengenai kegagalan pakatan pembangkang mencapai persefahaman berhubung perlaksanaan GST, Mukhriz berkata ia menunjukkan PAS kekeringan isu untuk diketengahkan dalam kempen PRK Sungai Limau.

Menurutnya pembangkang terutamanya PAS tidak seharusnya menolak perlaksanaan GST kerana cadangan mengenainya dibentangkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1993.

"Kita tahu kali pertama GST dicadangkan di Parlimen pada 1993 oleh menteri kewangan ketika itu, jadi tak mungkin mereka menolak GST walhal beliau yang cadang.

"Jadi nampaknya komponen pembangkang sendiri wujud ketidaksepakatan dalam hal GST. Ianya mengelirukan rakyat kerana ini satu perkara yang kompleks sebab itu hanya boleh dilaksanakan pada 1 April 2015," katanya.

Sebelum ini Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menggunakan isu GST sebagai modal kempen pembangkang namun pendiriannya bertentangan dengan pendirian terbaru Anwar yang juga Ketua Pembangkang apabila mengakui GST merupakan sistem cukai yang efisyen.

-Mstar

Thursday 31 October 2013

Muhyiddin pemimpin berjiwa besar



JERAI  - Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan ketokohan seorang pemimpin berjiwa besar apabila tidak keberatan untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan penyakit kencing manis bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, meskipun Timbalan Perdana Menteri tidak berniat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam kenyataannya itu, namun beliau tetap memohon maaf atas dasar kemanusiaan seperti dituntut Islam.

Katanya, dalam kenyataan tersebut yang menyentuh mengenai Bajet 2014, Muhyiddin meminta rakyat negara ini menjaga kesihatan dan sepintas lalu merujuk sedikit kepada Allahyarham Azizan dalam bahasa yang amat berlapik.

“Beliau bagaimanapun tidak keberatan meminta maaf. Inilah ketokohan seorang pemimpin berjiwa besar. Ketokohan beliau dapat dilihat apabila pengundi amat menyanjungi jiwa besar Tan Sri Muhyiddin dan mereka tahu apa sebenar yang berlaku," katanya kepada pemberita pada majlis kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Batu 16 di sini hari ini.

Shahrizat berkata, pembangkang sebenarnya ketandusan isu untuk dimainkan dengan membangkitkan perkara berkenaan selain hanya mampu menggunakan susu tamat tempoh dalam kempen mereka menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau ini.

PRK Sungai Limau: Tudung biru, merah jadi tumpuan

Gambar Hiasan

YAN: Aktiviti kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, yang bermula sejak Rabu lepas, bukan sahaja memberi rezeki yang agak lumayan kepada peniaga dan penjaja makanan, malah membawa keuntungan berganda kepada penjual tudung.

Pekan Sungai Limau dan sekitarnya bukan sahaja meriah dengan deretan kedai serta warung makanan, poster dan lambang parti yang bertanding malah kelihatan seperti bazar tudung.      
Peniaga tudung di Pekan Sungai Limau Roslan Husshin, 27, berkata perniagaannya agak baik sempena PRK ini dengan jualan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.  

Roslan, yang mula berniaga di pasar pagi pekan itu sejak dua tahun lepas, berkata tudung merah dan biru menjadi tumpuan pelanggan dan jualannya meningkat sepanjang tempoh kempen.

"Kalau kita kira berdasarkan nisbah, jualan tudung berwarna merah dan biru dengan tudung warna lain adalah tiga nisbah satu. Contohnya, kalau sehari tu saya jual tudung sebanyak 120 helai, 90 helai tu tudung warna merah dan biru manakala lagi 30 tudung warna lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sokongan penduduk DUN Sungai Limau kepada Barisan Nasional mungkin merupakan faktor jualan tudung berkenaan meningkat. - BERNAMA

Jamil: Perubahan kepimpinan Jerai tak jejas kempen di Sg Limau



Perubahan dalam kepimpinan Umno Bahagian Jerai tidak memberi kesan kepada kempen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.
  
Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pertandingan merebut jawatan ketua bahagian itu pada 19 November lepas tidak menimbulkan perpecahan dalam Umno bahagian itu.
  
Katanya dalam pertandingan itu, beliau dan bekas ketua bahagian Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang ketika itu penyandang jawatan tidak berkempen, sebaliknya kedua-dua mereka sibuk dengan urusan yang lebih penting.
  
"Sebenarnya begini, uniknya di Jerai ada pertandingan bahagian tetapi kedua-dua yang bertanding (Jamil Khir dan Mohd Suhaimi) tidak berkempen. Ini uniknya, yang seorang (beliau sendiri) ke Makkah bertugas mengatur urusan haji dan balik pada malam hari pengundian, maksudnya tak sempat berkempen.
  
"Lagi seorang pula (penyandang) Ketua Bahagian (Mohd Suhaimi) yang ada di sini, tak ke Makkah, duduk sini pun sibuk dengan menubuhkan jentera bagi menghadapi PRK, jadi kedua-dua tak sempat kempen," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama masyarakat di Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai G-IV, di Yan hari ini.

Dalam pemilihan jawatan itu, Jamil Khir yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Anggota Parlimen Jerai mendapat 490 undi, menewaskan Mohd Suhaimi yang hanya meraih 270 undi.
  
Semalam, Mohd Suhaimi menafikan desas-desus wujudnya perpecahan di bahagian itu berikutan kekalahan beliau kepada Jamil Khir, dan menegaskan tidak wujud sebarang pertelingkahan, malah mereka bekerjasama baik dalam menggerakkan jentera kempen PRK DUN Sungai Limau.
  
Sementara itu, Jamil Khir berkata beliau berpuas hati dengan jentera BN bagi kempen PRK DUN Sungai Limau yang sehingga hari ini berjaya menemui hampir kesemua pengundi di DUN berkenaan.
  
Menyifatkan jentera itu kini berada pada gear kemuncak dengan kempen berbaki tiga hari lagi, beliau berkata daripada laporan diterima, kebanyakan pengundi dilaporkan memberi respons yang amat baik.
  
"Bahkan ramai pengundi muda terutamanya nampak begitu memahami kehendak dan aspirasi kerajaan begitu juga dengan pengundi berumur yang mengatakan kali ini undi dia akan bagi kepada BN," katanya.
  
Jamil Khir berkata jentera BN akan meneruskan usaha menemui baki pengundi yang ada yang mungkin tercicir daripada perhatian mereka.

- Bernama

Artis ke Sungai Limau bantu kempen BN



Malaysiakini sempat singgah ke sebuah rumah di Batu 18 yang menjadi tempat persinggahan seniwati Norlia Ghani, pelawak Abon, penyanyi Hail Amir, serta pelakon Aznah Hamid yang turun berkempen untuk BN.

Norlia Ghani yang popular memeran watak Joyah dalam siri Opah tidak lama dahulu bertindak sebagai jurucakap artis ini menjelaskan  program mereka ini dinamakan 'Ziarah Syukur'.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua program ini diadakan selepas pilihan raya umum lalu.

"Kalau boleh kita nak semua rakyat faham yang mana satu yang kita nak pilih sebab kita ada hak untuk mengundi dan memilih.

"Kalau kita pilih salah, susahlah kita nanti," katanya yang memakai baju-T berwarna pink dengan tulisan "Pilihlah BN".

Menurutnya lagi, di sebelah pagi mereka telah berkunjung pasar untuk berkempen dan di sebelah petang nanti mereka akan bersama orang ramai dalam acara sukan bendang seperti menangkap itik, menangkap ikan keli serta berlari dalam bendang.

Selain beliau, artis-artis lain yang turun berkempen adalah pelawak AR Badol, Abon, Aznah Hamid, Nadia AF, serta Datuk Mustapha Maarof.

Ziarah ini kata Norlia lagi, dilakukan dengan sokongan Anggota Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Populariti calon DUN Sg Limau tak menyerlah

 
Kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau kini masuk hari kesembilan, namun bentuk sokongan yang jelas dari 27,222 pengundinya sehingga kini masih belum menjelma.

Usaha untuk meneliti pergerakan calon BN dan PAS kini agak sulit kerana kesukaran untuk mendapatkan jadual harian masing-masing, yang banyak mengadakan kempen melalui kunjungan rumah ke rumah.

NONEPopulariti kedua-dua calon dalam perlawanan satu-lawan satu ini juga masih belum menampakkan gambaran jelas, mungkin kerana sering dibayangi pengaruh pemimpin tertinggi parti mereka sepanjang kempen berlangsung.

Penduduk setempat yang menghadiri majlis anjuran kedua-dua parti ini diperhatikan tidak banyak mendengar ucapan kedua-dua calon – Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dari BN dan Mohd Azam Abd Samat, 37, dari PAS – dalam mengulas isu semasa.

Malah, serangan demi serangan yang dilakukan lawan masing-masing biasanya dikendalikan oleh pemimpin atasan parti mereka.

NONEKeadaan ini mungkin sedikit sebanyak menyukarkan pengundi untuk menilai kebolehan calon untuk mewakili mereka di DUN kelak.

Ini diperhatikan apabila timbul isu penyebaran SMS di Sungai Limau pada awal peringkat kempen, yang mendakwa calon BN pernah memasuki pusat rawatan sakit mental.

Sohaimi bagaimanapun hanya berdiam diri dengan dakwaan tersebut, sehinggalah perkara itu diperjelaskan oleh pemimpin PAS Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media pada 28 Oktober

Mahfuz menjelaskan bahawa SMS yang mendakwa demikian tidak disebarkan olehnya, seperti didakwa sesetengah pihak.

NONEDalam majlis anjuran BN semasa kempen ini, Sohaimi juga diperhatikan hanya meluangkan sedikit masa untuk singgah dan bertegur sapa dengan penyokong parti.

Isu utama seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya akan ditimbulkan oleh tokoh seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Begitu juga dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang kerap kali mengingatkan orang ramai untuk mengundi Sohaimi kerana "di belakang Sohaimi ada saya, dan di belakang saya ada Datuk Seri Najib".

NONEDi sudut PAS, Azam juga berdepan dengan situasi sama. Calon parti itu sering dibayangi pengaruh Mahfuz dan juga ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dalam sidang media harian mereka semasa tempoh kempen ini.

Antara perkara yang sering diperkatakannya adalah azam untuk membina kemudahan internet tanpa wayar (wifi), membaiki jalan serta memperbaiki sistem pendidikan Islam setempat di Sungai Limau.

Bagaimanapun, beliau lebih banyak berdiam diri apabila timbul kontroversi berhubung gambarnya bersama penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Isu gambar itu, seperti dibongkar sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 28 Oktober, mencalar imej PAS kerana gambar berkenaan didapati diubahsuai untuk menonjolkan hubungan rapat antara Azam dengan Azizan, yang berpengaruh besar di Sungai Limau.

Isu itu akhirnya terpaksa dijawab oleh Amiruddin, tiga hari lalu, yang mengakui bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada pereka grafik yang diupah jentera parti.

Secara kasar, suasana kempen pilihan raya kecil kali ini masih belum rancak, namun situasi ini mungkin berbeza apabila pemimpin utama parti politik dijangkan akan muncul pada hari-hari terakhir kempen.

Antara yang dijangka akan muncul dalam kempen tersebut ialah presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Wednesday 30 October 2013

Muhyiddin Syukur Keluarga Azizan Terima Permohonan Maaf



YAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menerima permohonan maafnya berhubung kenyataan yang didakwa PAS menghina bekas Menteri Besar Kedah itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menerusi pesanan anak kelima Azizan, Muhammad Rafi'iy yang dihantar melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada pagi Rabu, dinyatakan bahawa keluarga Azizan menyambut baik permohonan maaf yang dibuatnya.

"Saya bersyukur kerana saya dapat teks anak Allahyarham yang menyatakan bahawa keluarganya menerima permohonan maaf daripada saya," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

Menurut Muhyiddin lagi, melalui pesanan yang diterimanya, keluarga Azizan turut berharap agar isu tersebut tidak terus diperbesarkan.

"Beliau pun mengharapkan isu ini ini selesai sertatidak dibangkitkan dan dipolitikkan.
"Saya ucap terima kasih di atas penerimaan kenyataan maaf saya," katanya.

Pasa Selasa Muhyiddin secara terbuka memohon maaf kepada keluarga Azizan berhubung kontroversi dakwaan kononnya beliau mempersenda kematian bekas Menteri Besar Kedah itu dengan penyakit kencing manis.

Menurut Muhyiddin, sebagai umat Islam beliau memohon maaf sekiranya kenyataannya menyinggung perasaan keluarga Azizan.

Kekelirun itu dijadikan modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mendakwa kononnya Muhyiddin sengaja mempersenda Azizan apabila mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula.

PRK Sungai Limau Medan Ukur Sokongan Cina - Muhyiddin

 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) memegang tangan adik Ooi Eason, 2, ketika hadir pada majlis jamuan tengahari bersama masyarakat Cina di Yan, Rabu. -fotoBERNAMA


YAN: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau merupakan platform terbaik untuk mengukur tahap perubahan sikap masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan pilihan raya kecil ini boleh menjadi penunjuk mengenai kesediaan masyarakat itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan.

"Masyarakat Cina adalah prakmatik, mereka sebagaimana kaum lain memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

"Komitmen kerajaan BN untuk berlaku adil kepada semua pihak memang kita tunjukkan. Jadi diharapkan ini adalah masa terbaik untuk kita mengukur tahap perubahan sikap," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

DUN Sungai Limau mempunyai seramai 1,842 pengundi Cina atau 6.7 peratus daripada 27,222 orang pengundi keseluruhan.

Mengulas lanjut Timbalan Pengerusi BN itu berkata, berdasarkan laporan dua parti komponennya iaitu MCA dan Gerakan, masyarakat Cina mula menunjukkan keterbukaan mereka untuk kembali menyokong BN khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

"Berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan maklum balas yang diperolehi daripada MCA dan Gerakan, mereka maklumkan ada kesediaan (menyokong BN) daripada pengundi Cina.

"Tapi ini adalah andaian sebelum PRK. Saya tak tahu dan kurang pasti (situasi sebenar) sehingga kita tahu keputusan nanti. Kebetulan diadakan PRK ini selepas PRU.

"Selepas PRU lalu kita tahu ada istilah 'tsunami pengundi Cina', tapi sudah beberapa bulan, mungkin keadaan itu berubah," katanya. -Mstar.

PRK Sungai Limau: Pemuda BN gempur kubu Pas



JERAI 29 Okt - Kempen Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau yang masuk hari ketujuh menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memasuki kawasan-kawasan peti undi yang dahulunya merupakan kubu kuat parti pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang melakukan walk-about di peti undi Bukit Besar dan Matang Buluh di sini hari ini berkata, kejayaan itu merupakan satu petanda baik bagi BN untuk menguasai semula DUN Sungai Limau yang dikuasai Pas sejak sekian lama.

"Satu isyarat yang baik, saya diberitahu dahulu nak naikkan bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, Matang Buluh dan Selengkoh. Sekarang ini kita tengok bendera BN berkibar di sana, begitu juga poster dan banting calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim juga sudah dinaikkan.

"Malah saya diberitahu ada orang kuat Pas yang sudah bersama kita dan ada yang menjenguk ke bilik gerakan kita. Maksudnya mereka sudah bersedia untuk membuat penghijrahan.

"Slogan 'Berani Hijrah' yang dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir amat tepat sekali," kata Khairy dalam sidang akhbarnya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika BN berjaya mengurangkan bilangan undi Pas di peti-peti undi yang menjadi kubu kuat parti itu, secara tidak langsung akan menyumbang kepada usaha merampas kembali DUN berkenaan.

"Mana-mana yang kita kenal pasti sebagai kawasan hitam kita sudah mula masuk. Nak kata kita menang di kawasan itu tidak tahu lagilah, tapi sekurang-kurangnya kita nampak sudah ada peningkatan. Kalau kita boleh kurangkan majoriti Pas di kubu mereka saya yakin secara keseluruhan kita boleh capai kejayaan," kata beliau.

Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN mengambil pendekatan sederhana dalam berkempen di Sungai Limau memandangkan para penduduk di kawasan berkenaan tidak boleh menerima kempen yang melampau.

"Kempen kita memang rancak tetapi dari segi pendekatan kita akan bersederhana. Sebab itu kita tak ada ceramah, tak ada konvoi besar-besaran. Kita diberi nasihat oleh pemimpin masyarakat bahawa rakyat di sini tidak suka cara kempen yang begitu gah. Tetapi setiap hari kita ada program cuma dia punya pendekatan adalah sederhana," katanya.

Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mohd Azam Rayu Pengundi Nilai Rekod Keluarga



YAN: Berbaki empat hari sebelum hari pengundian pada 4 November ini, calon PAS, bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat dilihat tidak lagi bersandarkan kepada 'faktor Azizan' untuk merayu undi.

Sebaliknya beliau kini menggunakan latar belakang keluarganya yang dikatakan berpengaruh dan dikenali penduduk setempat sebagai strategi kempennya.

"Penilaian yang perlu diberi perhatian oleh penduduk ialah latar belakang keluarga saya.

"Saya mempunyai rekod keluarga yang baik, semua orang kenal. Tuan-tuan boleh nilai rekod keluarga saya," katanya ketika berucap pada majlis 'turun bendang dan doa awal musim padi' di Kampung Pulau Tembun di Sungai Limau Dalam, di sini, Rabu.

Sebelum ini Mohd Azam seringkali bersandarkan imej dan populariti bekas penyandang kerusi DUN Sungai Limau selama lima penggal, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut mengakui bahawa pengaruh Azizan di DUN Sungai Limau merupakan bonus kepada parti itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Mohd Azam merupakan cucu kepada tiga tokoh ulama terkenal di Kedah.
Datuknya, Abdul Hamid Ibrahim pernah bertanding di DUN Sala (sebelum dikenali sebagai DUN Sungai Limau) pada Pilihan Raya Umu 1959.

Keluarganya juga merupakan aktivis PAS di kawasan Bukit Besar dalam DUN Sungai Limau.   

Azeez: PAS hanya mampu bawa isu susu tamat tempoh



Ketua Umno Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu pemberian susu tamat tempoh oleh jentera BN untuk meraih sokongan dan simpati pengundi di Sungai Limau.

MP Baling itu dalam laporan Utusan Malaysia mendakwa, tindakan PAS yang menggunakan isu susu tamat tempoh itu juga perbuatan memalukan.

“”Saya dimaklumkan hanya seorang sahaja tampil, kononnya menerima pemberian bungkusan makanan yang tamat tempoh.

“Aduan tersebut datangnya daripada mereka yang mempunyai hubungan keluarga dengan salah seorang kakitangan media pembangkang, Harakahdaily.

“Adalah amat memalukan apabila (Datuk) Mahfuz (Omar) selaku naib presiden PAS hanya mampu menggunakan susu tamat tempoh bagi menarik sokongan pengundi sedangkan banyak lagi isu besar seperti pembangunan yang perlu diperjuangkan oleh PAS di Sungai Limau,” katanya.

Dalam laporan akhbar milik Umno itu, Abdul Azeez tidak menyebut sama ada beliau akan menyiasat dakwaan bahawa bahan yang dibekalkan tersebut benar-benar tamat tempoh.

Mahfuz dalam kenyataannya yang disiarkan Harakahdaily semalam berkata, tindakan menghadiahak susu tamat tempoh kepada pengundi itu tidak seharusnya berlaku kerana ianya boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Tak kan la punya sengkek, kedekut piang BN ni. Cari la yang elok sikit nak bagi kat orang," kata Mahfuz seperti dipetik lidah parti PAS itu.

Menurut laporan tersebut, seorang pengundi menerima susu tamat tempoh daripada jentera BN yang hadir berkempen ke rumahnya di Sungai Dedap, pada hari Isnin.

Tarikh luput di tin susu tersebut tertera 26 Oktober 2013, menurut Harakahdaily.

Ia turut menyatakan bahawa beg plastik bersama tin susu tersebut tertera nama dan gambar Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. - mkini.

Cina Sg Limau tunggu 'pengumuman besar' MB



Kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebelum ini yang dilihat tidak mengutamakan penduduk Cina kerana sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, mungkin menjadi bahan bualan di kalangan pengamal media.

Namun, di peringkat akar umbi, penduduk Cina Sungai Limau nampaknya lebih fokus kepada sejauh mana kerajaan negeri boleh membantu mereka menjalankan perniagaan padi dengan lebih baik.

NONEPedagang padi, Ho Siang Huat (kanan), 53, misalnya mahu harga jualan padi kepada Beras Nasional (BERNAS) dinaikkan kepada RM147 per 100 kilogram seperti di Thailand, berbanding harga sekarang RM102 sahaja untuk jumlah sama.

"Kami akan undi sesiapa sahaja yang boleh bantu naikkan harga padi seperti di Thailand," katanya sewaktu ditemui di Dulang Besar semalam.

"Kami sekarang menunggu jika Mukhriz ada sebarang pengumuman besar buat kami."

Ditanya siapa yang akan diundi penduduk Cina Sungai Limau, Ho berkata mereka akan mengikut arahan penghulu komuniti mereka yang dijangka akan mengadakan mesyuarat 'rahsia' untuk menentukan pilihan mereka.

"Cina di Sungai Limau ini bersatu. Apabila diarah untuk undi parti tertentu, kami undi. Itu caranya di sini," katanya sambil menambah arahan tersebut paling awal akan diketahui pada 2 November ini.

Tan: 3 anak saya tak laku

NONENaib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung (kiri) sebelum ini berkata terdapat 1,827 pengundi Cina di kawasan majoriti Melayu di Sungai Limau.

Namun katanya, hanya 10 peratus atau kira-kira 180 orang mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu walaupun jumlah anggota MCA di Sungai Limau adalah 965 orang.

Dengan anggapan tidak ramai pengundi Melayu menukar sokongan mereka selepas pilihan raya yang lalu, pengundi Cina kini mempunyai peranan penting untuk menentukan siapa yang bakal menang di Sungai Limau.

PAS sebelum ini mempertahankan kerusi Sungai Limau dengan majoriti sebanyak kira-kira 2,774 undi sahaja.

NONEBuat pesawah padi, Tan Siew Boon (kanan), 90, hidup beliau tidak banyak berubah sama ada bawah pentadbiran BN atau PAS.

Menurut ibu kepada 8 orang anak itu, beliau pernah memohon bantuan kerajaan negeri kira-kira setahun lalu untuk memperbaiki rumahnya.

Namun, menurutnya, bantuan yang dipohon daripada kerajaan negeri PAS itu tidak kunjung tiba.

"Hidup kami sudah begini sejak beberapa generasi dan rasanya tak ada apa-apa akan berubah," katanya yang telah mendiami rumahnya di tengah-tengah sawah sejauh kira-kira dua kilometer dari jalan utama, selama tiga generasi.

Beliau bersama anaknya mengusahakan 7 ekar tanah yang disewa pada harga RM600 untuk satu musim.

Menurut Tan, kehidupan mereka hanya ala kadar namun tidaklah begitu selesa sehinggakan tiga anak lelakinya "tidak laku" kerana gadis-gadis sekarang mahukan lelaki yang ada rumah dengan tanah di pekan.

Menurut Tan lagi, beliau juga akan menunggu arahan penghulu untuk mengundi parti yang mana satu dalam pilihan raya umum pada 4 November ini.

'Azizan di atas nampak'

Berbeza dengan Tan, seorang peniaga perabot dan barangan elektrik yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Ang tanpa berselindung memberitahu beliau akan mengundi PAS.

Menurutnya, bekas wakil rakyat sebelum ini, Tan Sri Azizan Abdul Razak seorang personaliti luar biasa yang ringkas dan mudah didekati.

NONEDitanya lebih lanjut sebab beliau akan terus mengundi PAS, Ang (kanan) berkata:

"Azizan di atas sana akan nampak kalau kita tak mengundi dia."

Ia mengundang ketawa besar daripada tujuh rakan-rakannya yang turut sama hadir sewaktu temubual dijalankan.

Hari membuang undi bagi jatuh pada 4 November dan pilihan raya kecil ini yang diadakan selepas Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN. - mkini.

Tuesday 29 October 2013

Pengundi Muda Kunci Era Baru DUN Sungai Limau



YAN: Pengundi muda harus menilai kemampuan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau secara mendalam bagi memastikan pembangunan di kawasan itu akan lebih terjamin.

Penganalisis politik berpendapat adalah penting bagi 11,000 pengundi muda atau 60 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar DUN Sungai Limau mengambil kira faktor perangkaian dan sistem sokongan calon bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat berjalan lancar.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, DUN Sungai Limau adalah satu-satunya kawasan di bawah Parlimen Jerai yang dikuasai PAS, berbanding dua lagi DUN iaitu Guar Chempedak dan Gurun yang di bawah Barisan Nasional (BN).

DUN Sungai Limau malahan berada di bawah PAS sejak pilihan raya umum 1995 apabila Tan Sri Azizan Abdul Razak bertanding buat pertama kali kerusi tersebut, dan sebelum itu kerusi itu disandang oleh Ahmad Awang dari BN.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam, satu-satunya cara untuk memastikan agenda pembangunan berjalan lancar adalah memastikan setiap peringkat, bermula daripada DUN, Parlimen hinggalah ke kerajaan negeri, diwakili oleh suara yang sama.

"Kita tak nafikan PAS juga boleh membawa suara rakyat, tetapi suara yang dibawa adalah dari sudut pembangkang yang mungkin mempunyai objektif berlainan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas lebih lanjut, Ramlah berkata pengundi muda harus menolak kepentingan diri dan memilih calon yang boleh melakukan perubahan signifikan terhadap kawasan itu.

Beliau berkata di sinilah pentingnya golongan muda menilai secara menyeluruh mengenai calon yang bertanding, terutama dalam memilih wakil yang lebih memahami prosedur pentadbiran dalam sesuatu organisasi.

"Kedua-dua calon mempunyai latar belakang sebagai pendidik, namun BN mengenengahkan seorang bekas pensyarah kanan sebuah universiti awam serta mempunyai kelayakan peringkat doktor falsafah, "Disokong pula dengan pengalaman beliau yang begitu lama dalam bidang pendidikan...jiwa pendidik biasanya sentiasa mempunyai kecenderungan untuk berinteraksi lebih dengan masyarakat dan ini pasti memberikan kelebihan untuk beliau memimpin masyarakat setempat," katanya.

Untuk kerusi DUN Sungai Limau, BN kali ini menampilkan bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, manakala PAS memilih bekas penolong kanan ko-kurikulum Sekolah Menengah Agama An-Nadzah, Mohd Azam Abd Samat, 37, sebagai calon.

Tambah Ramlah lagi, pengundi berdaftar, khususnya dari golongan muda harus bertanya kepada diri sendiri adakah mereka sudah berpuas hati dengan kemajuan DUN Sungai Limau capai sejak 18 tahun di bawah pimpinan PAS.

"Mereka harus berfikir adakah adil untuk melihat kawasan tersebut, yang didiami sebilangan besar warga emas serta generasi baharu, untuk terus mundur tanpa pembangunan?" katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata pengundi muda harus melihat corak kempen kedua-dua calon dan menilai siapa yang lebih mementingkan pembangunan kawasan ini.

Beliau berkata Ahmad Sohaimi dilihat lebih fokus, ke arah agenda pembangunan berbanding dengan taktik menyerang keperibadian lawan, yang beliau sifatkan sebagai politik agresif.

"Di samping agenda pembangunan, beliau (Ahmad Sohaimi) masih tidak mengabaikan satu daripada identiti Sungai Limau iaitu sekolah pondok," katanya. "Malah beliau sendiri menyatakan komitmennya untuk melihat sekolah pondok berteraskan pembelajaran sains untuk dibina di sini sebagai sebahagian daripada manifesto beliau," kata Md Shukri.

Menurut Md Shukri, masyarakat, khususnya pengundi, akan melihat pendekatan yang Ahmad Sohaimi ambil, iaitu memastikan pembangunan disuntik tanpa mengabaikan elemen yang sudah menjadi sebahagian daripada penduduk di sini, sebagai satu kelebihan untuk memungkinkan beliau dipilih.

"Inilah peluang kepada orang muda di Sungai Limau, mahupun mereka yang sudah sekian lama berhijrah ke bandar-bandar, untuk bersama-sama kerajaan negeri supaya dasar baharu DUN Sungai Limau boleh dilaksanakan," katanya.

PRK Sungai Limau: Pengundi sudah bersedia `berhijrah' - Khairy



YAN: Pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dilihat sudah bersedia untuk membuat 'penghijrahan' termasuk di empat kawasan hitam yang kini sudah mula ditembusi jentera Barisan Nasional (BN).

Empat kawasan yang menjadi kubu kuat PAS di DUN Sungai Limau ialah Bukit Choras, Bukit Besar, Permatang Buluh dan Selengkoh.                   
Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata ia petanda baik dan jika majoriti PAS di empat kubu kuat mereka itu dapat dikurangkan, peluang BN secara keseluruhan bagi pilihan raya kecil DUN itu adalah lebih cerah.

"Saya diberitahu dahulu, nak letak bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, sekarang ini bendera BN berkibar di sana, poster dan bunting calon dapat dinaikkan malah ada juga orang kuat PAS yang sudah bersama kami.

"Sama ada menjadi jentera, menyokong, ada juga yang menjenguk bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kami, itu petanda baik, maksudnya mereka bersedia untuk buat penghijrahan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjaun mesra di PDM Bukit Besar dan Permatang Buluh, di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara keseluruhan harapan generasi muda yang ingin melihat kemajuan menjadi antara faktor sokongan kepada BN di DUN itu semakin meningkat.

"Mereka menaruh harapan tinggi bahawa kemajuan dan perubahan ini hanya dapat dikecapi sekiranya wakil rakyat di sini adalah wakil rakyat dari parti sama yang mentadbir kerajaan negeri dan pusat," katanya.
Bagi Pemuda BN, beliau berkata strategi yang diguna untuk menarik lebih ramai sokongan pengundi akan terus menggunakan tempo sama dengan pendekatan sederhana, antaranya menemui pengundi dari rumah ke rumah dan mengadakan ceramah kecil-kecilan.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno kesal imej dan ketokohan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan wakil rakyat Sungai Limau sejak 1995 sehingga meninggal dunia pada 26 Sept lepas, dimanipulasi PAS dalam kempen pilihan raya kecil itu.

"Saya rasa amat sedih sebab gambar itu diedarkan semata-mata nak tunjukkan bahawa calon dia (PAS) itu baik dengan arwah Ustaz Azizan, sebab dia tahu Ustaz Azizan disegani dan dihormati dan apa tujuan nak letak gambar dia dengan Ustaz Azizan sebab nak dapat sokongan daripada orang yang sayang arwah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemalsuan gambar risalah profil calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

Terdahulu, Khairy dalam lawatan membantu kempen pilihan raya kecil itu turut membuat tinjauan menaiki motosikal ke empat rumah di kawasan Bukit Besar, di sini.

Perang poster suram di Sungai Limau



YAN: Berlainan daripada kebiasaan semasa pilihan raya umum atau kecil, kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kali ini dilihat lebih memberi fokus kepada 'sentuhan peribadi' calon yang bertanding.

Kedua-dua calon banyak menggunakan pendekatan berjumpa secara bersemuka dengan pengundi dalam program-program kecil seperti solat berjemaah di masjid dan surau serta melawat pasar tani, berbanding perang poster dan ceramah mega.                  
Bermula sejak awal kempen selepas proses penamaan, calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat, 37, menggunakan pendekatan sama dengan berkempen dari rumah ke rumah untuk bertemu secara terus dengan pengundi.              

Tinjauan Bernama mendapati sehingga kini poster kedua-dua calon agak sukar untuk dilihat di kawasan DUN Sungai Limau ini manakala poster parti hanya didapati berhampiran bilik gerakan parti masing-masing.

Kedua-dua pihak lebih banyak menggantung bendera parti masing-masing daripada poster calon, dan kain rentang ceramah memaparkan gambar pemimpin tertinggi parti masing-masing.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata pendekatan kempen kedua-dua parti itu itu mungkin diambil berdasarkan pengalaman pilihan raya umum ke-13 yang lepas dan PRK Besut, Terengganu.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman, kedua-dua parti bertanding tidak mahu menggunakan politik keterlaluan yang mengakibatkan lebih banyak perpecahan di kalangan bangsa Melayu itu sendiri.
"Kedua-dua pihak juga mungkin sedar bahawa PRK kali ini tidak akan membawa banyak perubahan, berbanding PRU. Kalau pada PRU kita ada 50-50 peluang membentuk kerajaan, manakala PRK ini tidak.

"Kita hormati PAS, tetapi kalau menang pun mereka tidak boleh bawa pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sebelum ini, Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, BN tidak berhasrat berkempen secara agresif sebaliknya mengamalkan pendekatan sama dengan penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, iaitu kempen secara berhemah.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan pendekatan 'sentuhan peribadi' yang digunakan kedua-dua calon adalah satu langkah terbaik dan paling berkesan.

Beliau berkata sebelum ini kedua-dua calon tidak berkesempatan menemui pengundi di kawasan itu kerana kesibukan kerja, dan langkah itu adalah yang terbaik bagi membolehkan pengundi mengenali mereka dengan lebih dekat dalam tempoh masa terhad.

"Rakyat luar bandar seperti di DUN Sungai Limau, mereka memang berkehendakan 'sentuhan peribadi' seperti ini. Saya berpendapat kedua-dua calon tidak begitu rapat dengan pengundi. Jadi, mereka terpaksa berjumpa dengan pengundi secara individu," katanya.

Ditanya suasana kempen pilihan raya yang suram dengan perang poster, Ahmad Atory berkata perkara itu tidak mendatangkan kesan negatif kepada parti kerana perkembangan teknologi membantu pengundi mendapat maklumat hanya di hujung jari mereka.

PRK DUN Sungai Limau akan diadakan 4 November ini bagi mengisi kekosongan kerusi DUN itu berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak dari PAS.

EKSKLUSIF : Pendedahan Amanat Arwah Ustaz Azizan - Hj Shukri


Jika sebelum ini kebanyakan penganut agama PAS begitu taksub dengan amanat sesat Haji Hadi yang mengkafirkan sesama islam, hari ini admin dimaklumkan bahawa salah seorang saudara kepada mantan ADUN Sungai Limau, Allahyarham Ustaz Azizan Razak telah tampil dengan sehelai kertas yang didakwa sebagai amanat terakhir Allahyarham.

Haji Shukri bin Haji Ismail. Itulah penama yang dikatakan menulis amanat yang dituturkan oleh Allahyarham 3 minggu sebelum meninggal dunia.

Mungkin bakal ada yang mengatakan ini adalah propaganda murahan dari Barisan Nasional untuk merampas DUN Sungai Limau yang sememangnya kubu kuat PAS.

Namun bagi admin, setiap apa yang dituliskan di dalam kertas yang diedarkan itu ada asasnya.

Kerana terlalu islamiknya Ustaz Azizan, kita lihat sahaja ketika beliau terlantar di Hospital Besar Pulau Pinang, ramaikah pemimpin Pakatan Rakyat yang datang menjengah? Senang diucap... HARAMM...

Kita lihat pula Mukriz, sekalipun berbeza ideologi partisan, masih mampu meluangkan masa datang menjenguk.




Fikir- fikirkan sebelum membuat pilihan.

Saya tidak khianati Azizan - Mukhriz



JERAI  - Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan, beliau tidak pernah mengkhianati janji apabila diminta oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak supaya menjaga Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, Kuin kini dijaga sebaik mungkin menerusi cara pentadbirannya yang tersendiri dengan memastikan kebajikan warga kolej universiti berkenaan terbela.

Katanya, beliau bukan jenis mungkir janji tetapi perlu dilihat juga apa janji yang dibuat.

"Allahyarham minta saya menjaga Kuin dan saya berjanji akan jaga. Jadi itu yang saya buat. Saya tafsirkan apabila Allahyarham menyebut supaya menjaga Kuin itu maksudnya menjaga warga Kuin, tidak semestinya bangunan kerana itu hanya fizikal.

Yang kita hendak jaga warga Kuin," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dulang di sini hari ini.

Mukhriz mengulas mengenai isu yang dimainkan oleh pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kononnya beliau enggan meneruskan legasi Allahyarham Azizan termasuk melibatkan kampus Kuin.

Mereka juga menuduh Menteri Besar Kedah tersebut mengkhianati amanah yang diberikan oleh Azizan berhubung Kuin.

Mukhriz berkata, beliau tidak pelik apabila pelbagai persepsi ditimbulkan mengenai beliau kerana dalam PRK seperti ini, ia merupakan masa untuk perkara seperti itu disensasi atau dipolitikkan.
Tegas beliau, apa pun keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri, ia akan dipastikan bertepatan dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Mukhriz, semua pihak memahami apabila berlaku peralihan kuasa pentadbiran, Menteri Besar baharu yang akan menentukan hala tuju kerajaan negeri.

"Apatah lagi peralihan kuasa ini berlaku antara dua parti berbeza. Tiada istilah yang mana Menteri Besar baharu yang datang dari parti berbeza mewarisi tanggungjawab daripada pihak sebelumnya.
"Kita mempunyai hak eksekutif untuk membuat keputusan sendiri. Yang penting kepentingan warga Kuin tentu diberi keutamaan," ujar beliau.

Justeru, kata Mukhriz, tidak timbul isu sama ada beliau mengkhianati janjinya terhadap Allahyarham Azizan yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.
"Ia tidak langsung berlaku. Kalau hendak cerita pasal khianat ini, saya ingat ada orang lain yang lebih mengkhianati," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...