Thursday 31 October 2013

Muhyiddin pemimpin berjiwa besar



JERAI  - Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan ketokohan seorang pemimpin berjiwa besar apabila tidak keberatan untuk memohon maaf secara terbuka atas kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan penyakit kencing manis bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, meskipun Timbalan Perdana Menteri tidak berniat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam kenyataannya itu, namun beliau tetap memohon maaf atas dasar kemanusiaan seperti dituntut Islam.

Katanya, dalam kenyataan tersebut yang menyentuh mengenai Bajet 2014, Muhyiddin meminta rakyat negara ini menjaga kesihatan dan sepintas lalu merujuk sedikit kepada Allahyarham Azizan dalam bahasa yang amat berlapik.

“Beliau bagaimanapun tidak keberatan meminta maaf. Inilah ketokohan seorang pemimpin berjiwa besar. Ketokohan beliau dapat dilihat apabila pengundi amat menyanjungi jiwa besar Tan Sri Muhyiddin dan mereka tahu apa sebenar yang berlaku," katanya kepada pemberita pada majlis kenduri rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Barisan Nasional (BN) di Batu 16 di sini hari ini.

Shahrizat berkata, pembangkang sebenarnya ketandusan isu untuk dimainkan dengan membangkitkan perkara berkenaan selain hanya mampu menggunakan susu tamat tempoh dalam kempen mereka menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau ini.

PRK Sungai Limau: Tudung biru, merah jadi tumpuan

Gambar Hiasan

YAN: Aktiviti kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, yang bermula sejak Rabu lepas, bukan sahaja memberi rezeki yang agak lumayan kepada peniaga dan penjaja makanan, malah membawa keuntungan berganda kepada penjual tudung.

Pekan Sungai Limau dan sekitarnya bukan sahaja meriah dengan deretan kedai serta warung makanan, poster dan lambang parti yang bertanding malah kelihatan seperti bazar tudung.      
Peniaga tudung di Pekan Sungai Limau Roslan Husshin, 27, berkata perniagaannya agak baik sempena PRK ini dengan jualan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.  

Roslan, yang mula berniaga di pasar pagi pekan itu sejak dua tahun lepas, berkata tudung merah dan biru menjadi tumpuan pelanggan dan jualannya meningkat sepanjang tempoh kempen.

"Kalau kita kira berdasarkan nisbah, jualan tudung berwarna merah dan biru dengan tudung warna lain adalah tiga nisbah satu. Contohnya, kalau sehari tu saya jual tudung sebanyak 120 helai, 90 helai tu tudung warna merah dan biru manakala lagi 30 tudung warna lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata sokongan penduduk DUN Sungai Limau kepada Barisan Nasional mungkin merupakan faktor jualan tudung berkenaan meningkat. - BERNAMA

Jamil: Perubahan kepimpinan Jerai tak jejas kempen di Sg Limau



Perubahan dalam kepimpinan Umno Bahagian Jerai tidak memberi kesan kepada kempen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November ini.
  
Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pertandingan merebut jawatan ketua bahagian itu pada 19 November lepas tidak menimbulkan perpecahan dalam Umno bahagian itu.
  
Katanya dalam pertandingan itu, beliau dan bekas ketua bahagian Datuk Mohd Suhaimi Abdullah yang ketika itu penyandang jawatan tidak berkempen, sebaliknya kedua-dua mereka sibuk dengan urusan yang lebih penting.
  
"Sebenarnya begini, uniknya di Jerai ada pertandingan bahagian tetapi kedua-dua yang bertanding (Jamil Khir dan Mohd Suhaimi) tidak berkempen. Ini uniknya, yang seorang (beliau sendiri) ke Makkah bertugas mengatur urusan haji dan balik pada malam hari pengundian, maksudnya tak sempat berkempen.
  
"Lagi seorang pula (penyandang) Ketua Bahagian (Mohd Suhaimi) yang ada di sini, tak ke Makkah, duduk sini pun sibuk dengan menubuhkan jentera bagi menghadapi PRK, jadi kedua-dua tak sempat kempen," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama masyarakat di Kompleks Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai G-IV, di Yan hari ini.

Dalam pemilihan jawatan itu, Jamil Khir yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Anggota Parlimen Jerai mendapat 490 undi, menewaskan Mohd Suhaimi yang hanya meraih 270 undi.
  
Semalam, Mohd Suhaimi menafikan desas-desus wujudnya perpecahan di bahagian itu berikutan kekalahan beliau kepada Jamil Khir, dan menegaskan tidak wujud sebarang pertelingkahan, malah mereka bekerjasama baik dalam menggerakkan jentera kempen PRK DUN Sungai Limau.
  
Sementara itu, Jamil Khir berkata beliau berpuas hati dengan jentera BN bagi kempen PRK DUN Sungai Limau yang sehingga hari ini berjaya menemui hampir kesemua pengundi di DUN berkenaan.
  
Menyifatkan jentera itu kini berada pada gear kemuncak dengan kempen berbaki tiga hari lagi, beliau berkata daripada laporan diterima, kebanyakan pengundi dilaporkan memberi respons yang amat baik.
  
"Bahkan ramai pengundi muda terutamanya nampak begitu memahami kehendak dan aspirasi kerajaan begitu juga dengan pengundi berumur yang mengatakan kali ini undi dia akan bagi kepada BN," katanya.
  
Jamil Khir berkata jentera BN akan meneruskan usaha menemui baki pengundi yang ada yang mungkin tercicir daripada perhatian mereka.

- Bernama

Artis ke Sungai Limau bantu kempen BN



Malaysiakini sempat singgah ke sebuah rumah di Batu 18 yang menjadi tempat persinggahan seniwati Norlia Ghani, pelawak Abon, penyanyi Hail Amir, serta pelakon Aznah Hamid yang turun berkempen untuk BN.

Norlia Ghani yang popular memeran watak Joyah dalam siri Opah tidak lama dahulu bertindak sebagai jurucakap artis ini menjelaskan  program mereka ini dinamakan 'Ziarah Syukur'.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua program ini diadakan selepas pilihan raya umum lalu.

"Kalau boleh kita nak semua rakyat faham yang mana satu yang kita nak pilih sebab kita ada hak untuk mengundi dan memilih.

"Kalau kita pilih salah, susahlah kita nanti," katanya yang memakai baju-T berwarna pink dengan tulisan "Pilihlah BN".

Menurutnya lagi, di sebelah pagi mereka telah berkunjung pasar untuk berkempen dan di sebelah petang nanti mereka akan bersama orang ramai dalam acara sukan bendang seperti menangkap itik, menangkap ikan keli serta berlari dalam bendang.

Selain beliau, artis-artis lain yang turun berkempen adalah pelawak AR Badol, Abon, Aznah Hamid, Nadia AF, serta Datuk Mustapha Maarof.

Ziarah ini kata Norlia lagi, dilakukan dengan sokongan Anggota Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir.

Populariti calon DUN Sg Limau tak menyerlah

 
Kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau kini masuk hari kesembilan, namun bentuk sokongan yang jelas dari 27,222 pengundinya sehingga kini masih belum menjelma.

Usaha untuk meneliti pergerakan calon BN dan PAS kini agak sulit kerana kesukaran untuk mendapatkan jadual harian masing-masing, yang banyak mengadakan kempen melalui kunjungan rumah ke rumah.

NONEPopulariti kedua-dua calon dalam perlawanan satu-lawan satu ini juga masih belum menampakkan gambaran jelas, mungkin kerana sering dibayangi pengaruh pemimpin tertinggi parti mereka sepanjang kempen berlangsung.

Penduduk setempat yang menghadiri majlis anjuran kedua-dua parti ini diperhatikan tidak banyak mendengar ucapan kedua-dua calon – Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dari BN dan Mohd Azam Abd Samat, 37, dari PAS – dalam mengulas isu semasa.

Malah, serangan demi serangan yang dilakukan lawan masing-masing biasanya dikendalikan oleh pemimpin atasan parti mereka.

NONEKeadaan ini mungkin sedikit sebanyak menyukarkan pengundi untuk menilai kebolehan calon untuk mewakili mereka di DUN kelak.

Ini diperhatikan apabila timbul isu penyebaran SMS di Sungai Limau pada awal peringkat kempen, yang mendakwa calon BN pernah memasuki pusat rawatan sakit mental.

Sohaimi bagaimanapun hanya berdiam diri dengan dakwaan tersebut, sehinggalah perkara itu diperjelaskan oleh pemimpin PAS Datuk Mahfuz Omar dalam satu sidang media pada 28 Oktober

Mahfuz menjelaskan bahawa SMS yang mendakwa demikian tidak disebarkan olehnya, seperti didakwa sesetengah pihak.

NONEDalam majlis anjuran BN semasa kempen ini, Sohaimi juga diperhatikan hanya meluangkan sedikit masa untuk singgah dan bertegur sapa dengan penyokong parti.

Isu utama seperti pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya akan ditimbulkan oleh tokoh seperti Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Begitu juga dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang kerap kali mengingatkan orang ramai untuk mengundi Sohaimi kerana "di belakang Sohaimi ada saya, dan di belakang saya ada Datuk Seri Najib".

NONEDi sudut PAS, Azam juga berdepan dengan situasi sama. Calon parti itu sering dibayangi pengaruh Mahfuz dan juga ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah dalam sidang media harian mereka semasa tempoh kempen ini.

Antara perkara yang sering diperkatakannya adalah azam untuk membina kemudahan internet tanpa wayar (wifi), membaiki jalan serta memperbaiki sistem pendidikan Islam setempat di Sungai Limau.

Bagaimanapun, beliau lebih banyak berdiam diri apabila timbul kontroversi berhubung gambarnya bersama penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Isu gambar itu, seperti dibongkar sebuah akhbar berbahasa Melayu pada 28 Oktober, mencalar imej PAS kerana gambar berkenaan didapati diubahsuai untuk menonjolkan hubungan rapat antara Azam dengan Azizan, yang berpengaruh besar di Sungai Limau.

Isu itu akhirnya terpaksa dijawab oleh Amiruddin, tiga hari lalu, yang mengakui bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada pereka grafik yang diupah jentera parti.

Secara kasar, suasana kempen pilihan raya kecil kali ini masih belum rancak, namun situasi ini mungkin berbeza apabila pemimpin utama parti politik dijangkan akan muncul pada hari-hari terakhir kempen.

Antara yang dijangka akan muncul dalam kempen tersebut ialah presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim serta timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Wednesday 30 October 2013

Muhyiddin Syukur Keluarga Azizan Terima Permohonan Maaf



YAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak menerima permohonan maafnya berhubung kenyataan yang didakwa PAS menghina bekas Menteri Besar Kedah itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, menerusi pesanan anak kelima Azizan, Muhammad Rafi'iy yang dihantar melalui Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir pada pagi Rabu, dinyatakan bahawa keluarga Azizan menyambut baik permohonan maaf yang dibuatnya.

"Saya bersyukur kerana saya dapat teks anak Allahyarham yang menyatakan bahawa keluarganya menerima permohonan maaf daripada saya," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

Menurut Muhyiddin lagi, melalui pesanan yang diterimanya, keluarga Azizan turut berharap agar isu tersebut tidak terus diperbesarkan.

"Beliau pun mengharapkan isu ini ini selesai sertatidak dibangkitkan dan dipolitikkan.
"Saya ucap terima kasih di atas penerimaan kenyataan maaf saya," katanya.

Pasa Selasa Muhyiddin secara terbuka memohon maaf kepada keluarga Azizan berhubung kontroversi dakwaan kononnya beliau mempersenda kematian bekas Menteri Besar Kedah itu dengan penyakit kencing manis.

Menurut Muhyiddin, sebagai umat Islam beliau memohon maaf sekiranya kenyataannya menyinggung perasaan keluarga Azizan.

Kekelirun itu dijadikan modal kempen pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mendakwa kononnya Muhyiddin sengaja mempersenda Azizan apabila mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula.

PRK Sungai Limau Medan Ukur Sokongan Cina - Muhyiddin

 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) memegang tangan adik Ooi Eason, 2, ketika hadir pada majlis jamuan tengahari bersama masyarakat Cina di Yan, Rabu. -fotoBERNAMA


YAN: Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau merupakan platform terbaik untuk mengukur tahap perubahan sikap masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keputusan pilihan raya kecil ini boleh menjadi penunjuk mengenai kesediaan masyarakat itu menyatakan sokongan terhadap kerajaan.

"Masyarakat Cina adalah prakmatik, mereka sebagaimana kaum lain memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan.

"Komitmen kerajaan BN untuk berlaku adil kepada semua pihak memang kita tunjukkan. Jadi diharapkan ini adalah masa terbaik untuk kita mengukur tahap perubahan sikap," katanya selepas majlis ramah mesra bersama pengundi Cina di Bilik Gerakan BN di sini, Rabu.

DUN Sungai Limau mempunyai seramai 1,842 pengundi Cina atau 6.7 peratus daripada 27,222 orang pengundi keseluruhan.

Mengulas lanjut Timbalan Pengerusi BN itu berkata, berdasarkan laporan dua parti komponennya iaitu MCA dan Gerakan, masyarakat Cina mula menunjukkan keterbukaan mereka untuk kembali menyokong BN khususnya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lalu.

"Berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan maklum balas yang diperolehi daripada MCA dan Gerakan, mereka maklumkan ada kesediaan (menyokong BN) daripada pengundi Cina.

"Tapi ini adalah andaian sebelum PRK. Saya tak tahu dan kurang pasti (situasi sebenar) sehingga kita tahu keputusan nanti. Kebetulan diadakan PRK ini selepas PRU.

"Selepas PRU lalu kita tahu ada istilah 'tsunami pengundi Cina', tapi sudah beberapa bulan, mungkin keadaan itu berubah," katanya. -Mstar.

PRK Sungai Limau: Pemuda BN gempur kubu Pas



JERAI 29 Okt - Kempen Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Limau yang masuk hari ketujuh menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya memasuki kawasan-kawasan peti undi yang dahulunya merupakan kubu kuat parti pembangkang.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang melakukan walk-about di peti undi Bukit Besar dan Matang Buluh di sini hari ini berkata, kejayaan itu merupakan satu petanda baik bagi BN untuk menguasai semula DUN Sungai Limau yang dikuasai Pas sejak sekian lama.

"Satu isyarat yang baik, saya diberitahu dahulu nak naikkan bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, Matang Buluh dan Selengkoh. Sekarang ini kita tengok bendera BN berkibar di sana, begitu juga poster dan banting calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim juga sudah dinaikkan.

"Malah saya diberitahu ada orang kuat Pas yang sudah bersama kita dan ada yang menjenguk ke bilik gerakan kita. Maksudnya mereka sudah bersedia untuk membuat penghijrahan.

"Slogan 'Berani Hijrah' yang dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir amat tepat sekali," kata Khairy dalam sidang akhbarnya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, jika BN berjaya mengurangkan bilangan undi Pas di peti-peti undi yang menjadi kubu kuat parti itu, secara tidak langsung akan menyumbang kepada usaha merampas kembali DUN berkenaan.

"Mana-mana yang kita kenal pasti sebagai kawasan hitam kita sudah mula masuk. Nak kata kita menang di kawasan itu tidak tahu lagilah, tapi sekurang-kurangnya kita nampak sudah ada peningkatan. Kalau kita boleh kurangkan majoriti Pas di kubu mereka saya yakin secara keseluruhan kita boleh capai kejayaan," kata beliau.

Sementara itu, Khairy berkata, Pemuda BN mengambil pendekatan sederhana dalam berkempen di Sungai Limau memandangkan para penduduk di kawasan berkenaan tidak boleh menerima kempen yang melampau.

"Kempen kita memang rancak tetapi dari segi pendekatan kita akan bersederhana. Sebab itu kita tak ada ceramah, tak ada konvoi besar-besaran. Kita diberi nasihat oleh pemimpin masyarakat bahawa rakyat di sini tidak suka cara kempen yang begitu gah. Tetapi setiap hari kita ada program cuma dia punya pendekatan adalah sederhana," katanya.

Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd

Mohd Azam Rayu Pengundi Nilai Rekod Keluarga



YAN: Berbaki empat hari sebelum hari pengundian pada 4 November ini, calon PAS, bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat dilihat tidak lagi bersandarkan kepada 'faktor Azizan' untuk merayu undi.

Sebaliknya beliau kini menggunakan latar belakang keluarganya yang dikatakan berpengaruh dan dikenali penduduk setempat sebagai strategi kempennya.

"Penilaian yang perlu diberi perhatian oleh penduduk ialah latar belakang keluarga saya.

"Saya mempunyai rekod keluarga yang baik, semua orang kenal. Tuan-tuan boleh nilai rekod keluarga saya," katanya ketika berucap pada majlis 'turun bendang dan doa awal musim padi' di Kampung Pulau Tembun di Sungai Limau Dalam, di sini, Rabu.

Sebelum ini Mohd Azam seringkali bersandarkan imej dan populariti bekas penyandang kerusi DUN Sungai Limau selama lima penggal, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Malah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini turut mengakui bahawa pengaruh Azizan di DUN Sungai Limau merupakan bonus kepada parti itu untuk mempertahankan kerusi berkenaan.

Mohd Azam merupakan cucu kepada tiga tokoh ulama terkenal di Kedah.
Datuknya, Abdul Hamid Ibrahim pernah bertanding di DUN Sala (sebelum dikenali sebagai DUN Sungai Limau) pada Pilihan Raya Umu 1959.

Keluarganya juga merupakan aktivis PAS di kawasan Bukit Besar dalam DUN Sungai Limau.   

Azeez: PAS hanya mampu bawa isu susu tamat tempoh



Ketua Umno Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim mendakwa PAS sengaja menimbulkan isu pemberian susu tamat tempoh oleh jentera BN untuk meraih sokongan dan simpati pengundi di Sungai Limau.

MP Baling itu dalam laporan Utusan Malaysia mendakwa, tindakan PAS yang menggunakan isu susu tamat tempoh itu juga perbuatan memalukan.

“”Saya dimaklumkan hanya seorang sahaja tampil, kononnya menerima pemberian bungkusan makanan yang tamat tempoh.

“Aduan tersebut datangnya daripada mereka yang mempunyai hubungan keluarga dengan salah seorang kakitangan media pembangkang, Harakahdaily.

“Adalah amat memalukan apabila (Datuk) Mahfuz (Omar) selaku naib presiden PAS hanya mampu menggunakan susu tamat tempoh bagi menarik sokongan pengundi sedangkan banyak lagi isu besar seperti pembangunan yang perlu diperjuangkan oleh PAS di Sungai Limau,” katanya.

Dalam laporan akhbar milik Umno itu, Abdul Azeez tidak menyebut sama ada beliau akan menyiasat dakwaan bahawa bahan yang dibekalkan tersebut benar-benar tamat tempoh.

Mahfuz dalam kenyataannya yang disiarkan Harakahdaily semalam berkata, tindakan menghadiahak susu tamat tempoh kepada pengundi itu tidak seharusnya berlaku kerana ianya boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Tak kan la punya sengkek, kedekut piang BN ni. Cari la yang elok sikit nak bagi kat orang," kata Mahfuz seperti dipetik lidah parti PAS itu.

Menurut laporan tersebut, seorang pengundi menerima susu tamat tempoh daripada jentera BN yang hadir berkempen ke rumahnya di Sungai Dedap, pada hari Isnin.

Tarikh luput di tin susu tersebut tertera 26 Oktober 2013, menurut Harakahdaily.

Ia turut menyatakan bahawa beg plastik bersama tin susu tersebut tertera nama dan gambar Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. - mkini.

Cina Sg Limau tunggu 'pengumuman besar' MB



Kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir sebelum ini yang dilihat tidak mengutamakan penduduk Cina kerana sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum lalu, mungkin menjadi bahan bualan di kalangan pengamal media.

Namun, di peringkat akar umbi, penduduk Cina Sungai Limau nampaknya lebih fokus kepada sejauh mana kerajaan negeri boleh membantu mereka menjalankan perniagaan padi dengan lebih baik.

NONEPedagang padi, Ho Siang Huat (kanan), 53, misalnya mahu harga jualan padi kepada Beras Nasional (BERNAS) dinaikkan kepada RM147 per 100 kilogram seperti di Thailand, berbanding harga sekarang RM102 sahaja untuk jumlah sama.

"Kami akan undi sesiapa sahaja yang boleh bantu naikkan harga padi seperti di Thailand," katanya sewaktu ditemui di Dulang Besar semalam.

"Kami sekarang menunggu jika Mukhriz ada sebarang pengumuman besar buat kami."

Ditanya siapa yang akan diundi penduduk Cina Sungai Limau, Ho berkata mereka akan mengikut arahan penghulu komuniti mereka yang dijangka akan mengadakan mesyuarat 'rahsia' untuk menentukan pilihan mereka.

"Cina di Sungai Limau ini bersatu. Apabila diarah untuk undi parti tertentu, kami undi. Itu caranya di sini," katanya sambil menambah arahan tersebut paling awal akan diketahui pada 2 November ini.

Tan: 3 anak saya tak laku

NONENaib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung (kiri) sebelum ini berkata terdapat 1,827 pengundi Cina di kawasan majoriti Melayu di Sungai Limau.

Namun katanya, hanya 10 peratus atau kira-kira 180 orang mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu walaupun jumlah anggota MCA di Sungai Limau adalah 965 orang.

Dengan anggapan tidak ramai pengundi Melayu menukar sokongan mereka selepas pilihan raya yang lalu, pengundi Cina kini mempunyai peranan penting untuk menentukan siapa yang bakal menang di Sungai Limau.

PAS sebelum ini mempertahankan kerusi Sungai Limau dengan majoriti sebanyak kira-kira 2,774 undi sahaja.

NONEBuat pesawah padi, Tan Siew Boon (kanan), 90, hidup beliau tidak banyak berubah sama ada bawah pentadbiran BN atau PAS.

Menurut ibu kepada 8 orang anak itu, beliau pernah memohon bantuan kerajaan negeri kira-kira setahun lalu untuk memperbaiki rumahnya.

Namun, menurutnya, bantuan yang dipohon daripada kerajaan negeri PAS itu tidak kunjung tiba.

"Hidup kami sudah begini sejak beberapa generasi dan rasanya tak ada apa-apa akan berubah," katanya yang telah mendiami rumahnya di tengah-tengah sawah sejauh kira-kira dua kilometer dari jalan utama, selama tiga generasi.

Beliau bersama anaknya mengusahakan 7 ekar tanah yang disewa pada harga RM600 untuk satu musim.

Menurut Tan, kehidupan mereka hanya ala kadar namun tidaklah begitu selesa sehinggakan tiga anak lelakinya "tidak laku" kerana gadis-gadis sekarang mahukan lelaki yang ada rumah dengan tanah di pekan.

Menurut Tan lagi, beliau juga akan menunggu arahan penghulu untuk mengundi parti yang mana satu dalam pilihan raya umum pada 4 November ini.

'Azizan di atas nampak'

Berbeza dengan Tan, seorang peniaga perabot dan barangan elektrik yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Ang tanpa berselindung memberitahu beliau akan mengundi PAS.

Menurutnya, bekas wakil rakyat sebelum ini, Tan Sri Azizan Abdul Razak seorang personaliti luar biasa yang ringkas dan mudah didekati.

NONEDitanya lebih lanjut sebab beliau akan terus mengundi PAS, Ang (kanan) berkata:

"Azizan di atas sana akan nampak kalau kita tak mengundi dia."

Ia mengundang ketawa besar daripada tujuh rakan-rakannya yang turut sama hadir sewaktu temubual dijalankan.

Hari membuang undi bagi jatuh pada 4 November dan pilihan raya kecil ini yang diadakan selepas Azizan meninggal dunia pada 26 September lalu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan BN. - mkini.

Tuesday 29 October 2013

Pengundi Muda Kunci Era Baru DUN Sungai Limau



YAN: Pengundi muda harus menilai kemampuan calon pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau secara mendalam bagi memastikan pembangunan di kawasan itu akan lebih terjamin.

Penganalisis politik berpendapat adalah penting bagi 11,000 pengundi muda atau 60 peratus daripada 27,222 pengundi berdaftar DUN Sungai Limau mengambil kira faktor perangkaian dan sistem sokongan calon bagi memastikan pembangunan kawasan itu dapat berjalan lancar.

Dalam pilihan raya umum yang lepas, DUN Sungai Limau adalah satu-satunya kawasan di bawah Parlimen Jerai yang dikuasai PAS, berbanding dua lagi DUN iaitu Guar Chempedak dan Gurun yang di bawah Barisan Nasional (BN).

DUN Sungai Limau malahan berada di bawah PAS sejak pilihan raya umum 1995 apabila Tan Sri Azizan Abdul Razak bertanding buat pertama kali kerusi tersebut, dan sebelum itu kerusi itu disandang oleh Ahmad Awang dari BN.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam, satu-satunya cara untuk memastikan agenda pembangunan berjalan lancar adalah memastikan setiap peringkat, bermula daripada DUN, Parlimen hinggalah ke kerajaan negeri, diwakili oleh suara yang sama.

"Kita tak nafikan PAS juga boleh membawa suara rakyat, tetapi suara yang dibawa adalah dari sudut pembangkang yang mungkin mempunyai objektif berlainan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Mengulas lebih lanjut, Ramlah berkata pengundi muda harus menolak kepentingan diri dan memilih calon yang boleh melakukan perubahan signifikan terhadap kawasan itu.

Beliau berkata di sinilah pentingnya golongan muda menilai secara menyeluruh mengenai calon yang bertanding, terutama dalam memilih wakil yang lebih memahami prosedur pentadbiran dalam sesuatu organisasi.

"Kedua-dua calon mempunyai latar belakang sebagai pendidik, namun BN mengenengahkan seorang bekas pensyarah kanan sebuah universiti awam serta mempunyai kelayakan peringkat doktor falsafah, "Disokong pula dengan pengalaman beliau yang begitu lama dalam bidang pendidikan...jiwa pendidik biasanya sentiasa mempunyai kecenderungan untuk berinteraksi lebih dengan masyarakat dan ini pasti memberikan kelebihan untuk beliau memimpin masyarakat setempat," katanya.

Untuk kerusi DUN Sungai Limau, BN kali ini menampilkan bekas pensyarah kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, manakala PAS memilih bekas penolong kanan ko-kurikulum Sekolah Menengah Agama An-Nadzah, Mohd Azam Abd Samat, 37, sebagai calon.

Tambah Ramlah lagi, pengundi berdaftar, khususnya dari golongan muda harus bertanya kepada diri sendiri adakah mereka sudah berpuas hati dengan kemajuan DUN Sungai Limau capai sejak 18 tahun di bawah pimpinan PAS.

"Mereka harus berfikir adakah adil untuk melihat kawasan tersebut, yang didiami sebilangan besar warga emas serta generasi baharu, untuk terus mundur tanpa pembangunan?" katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata pengundi muda harus melihat corak kempen kedua-dua calon dan menilai siapa yang lebih mementingkan pembangunan kawasan ini.

Beliau berkata Ahmad Sohaimi dilihat lebih fokus, ke arah agenda pembangunan berbanding dengan taktik menyerang keperibadian lawan, yang beliau sifatkan sebagai politik agresif.

"Di samping agenda pembangunan, beliau (Ahmad Sohaimi) masih tidak mengabaikan satu daripada identiti Sungai Limau iaitu sekolah pondok," katanya. "Malah beliau sendiri menyatakan komitmennya untuk melihat sekolah pondok berteraskan pembelajaran sains untuk dibina di sini sebagai sebahagian daripada manifesto beliau," kata Md Shukri.

Menurut Md Shukri, masyarakat, khususnya pengundi, akan melihat pendekatan yang Ahmad Sohaimi ambil, iaitu memastikan pembangunan disuntik tanpa mengabaikan elemen yang sudah menjadi sebahagian daripada penduduk di sini, sebagai satu kelebihan untuk memungkinkan beliau dipilih.

"Inilah peluang kepada orang muda di Sungai Limau, mahupun mereka yang sudah sekian lama berhijrah ke bandar-bandar, untuk bersama-sama kerajaan negeri supaya dasar baharu DUN Sungai Limau boleh dilaksanakan," katanya.

PRK Sungai Limau: Pengundi sudah bersedia `berhijrah' - Khairy



YAN: Pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dilihat sudah bersedia untuk membuat 'penghijrahan' termasuk di empat kawasan hitam yang kini sudah mula ditembusi jentera Barisan Nasional (BN).

Empat kawasan yang menjadi kubu kuat PAS di DUN Sungai Limau ialah Bukit Choras, Bukit Besar, Permatang Buluh dan Selengkoh.                   
Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata ia petanda baik dan jika majoriti PAS di empat kubu kuat mereka itu dapat dikurangkan, peluang BN secara keseluruhan bagi pilihan raya kecil DUN itu adalah lebih cerah.

"Saya diberitahu dahulu, nak letak bendera BN pun tak boleh di Bukit Besar, sekarang ini bendera BN berkibar di sana, poster dan bunting calon dapat dinaikkan malah ada juga orang kuat PAS yang sudah bersama kami.

"Sama ada menjadi jentera, menyokong, ada juga yang menjenguk bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) kami, itu petanda baik, maksudnya mereka bersedia untuk buat penghijrahan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjaun mesra di PDM Bukit Besar dan Permatang Buluh, di sini hari ini.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata secara keseluruhan harapan generasi muda yang ingin melihat kemajuan menjadi antara faktor sokongan kepada BN di DUN itu semakin meningkat.

"Mereka menaruh harapan tinggi bahawa kemajuan dan perubahan ini hanya dapat dikecapi sekiranya wakil rakyat di sini adalah wakil rakyat dari parti sama yang mentadbir kerajaan negeri dan pusat," katanya.
Bagi Pemuda BN, beliau berkata strategi yang diguna untuk menarik lebih ramai sokongan pengundi akan terus menggunakan tempo sama dengan pendekatan sederhana, antaranya menemui pengundi dari rumah ke rumah dan mengadakan ceramah kecil-kecilan.

Dalam perkembangan lain, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno kesal imej dan ketokohan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang merupakan wakil rakyat Sungai Limau sejak 1995 sehingga meninggal dunia pada 26 Sept lepas, dimanipulasi PAS dalam kempen pilihan raya kecil itu.

"Saya rasa amat sedih sebab gambar itu diedarkan semata-mata nak tunjukkan bahawa calon dia (PAS) itu baik dengan arwah Ustaz Azizan, sebab dia tahu Ustaz Azizan disegani dan dihormati dan apa tujuan nak letak gambar dia dengan Ustaz Azizan sebab nak dapat sokongan daripada orang yang sayang arwah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pemalsuan gambar risalah profil calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

Terdahulu, Khairy dalam lawatan membantu kempen pilihan raya kecil itu turut membuat tinjauan menaiki motosikal ke empat rumah di kawasan Bukit Besar, di sini.

Perang poster suram di Sungai Limau



YAN: Berlainan daripada kebiasaan semasa pilihan raya umum atau kecil, kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kali ini dilihat lebih memberi fokus kepada 'sentuhan peribadi' calon yang bertanding.

Kedua-dua calon banyak menggunakan pendekatan berjumpa secara bersemuka dengan pengundi dalam program-program kecil seperti solat berjemaah di masjid dan surau serta melawat pasar tani, berbanding perang poster dan ceramah mega.                  
Bermula sejak awal kempen selepas proses penamaan, calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat, 37, menggunakan pendekatan sama dengan berkempen dari rumah ke rumah untuk bertemu secara terus dengan pengundi.              

Tinjauan Bernama mendapati sehingga kini poster kedua-dua calon agak sukar untuk dilihat di kawasan DUN Sungai Limau ini manakala poster parti hanya didapati berhampiran bilik gerakan parti masing-masing.

Kedua-dua pihak lebih banyak menggantung bendera parti masing-masing daripada poster calon, dan kain rentang ceramah memaparkan gambar pemimpin tertinggi parti masing-masing.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata pendekatan kempen kedua-dua parti itu itu mungkin diambil berdasarkan pengalaman pilihan raya umum ke-13 yang lepas dan PRK Besut, Terengganu.

Beliau berkata berdasarkan pengalaman, kedua-dua parti bertanding tidak mahu menggunakan politik keterlaluan yang mengakibatkan lebih banyak perpecahan di kalangan bangsa Melayu itu sendiri.
"Kedua-dua pihak juga mungkin sedar bahawa PRK kali ini tidak akan membawa banyak perubahan, berbanding PRU. Kalau pada PRU kita ada 50-50 peluang membentuk kerajaan, manakala PRK ini tidak.

"Kita hormati PAS, tetapi kalau menang pun mereka tidak boleh bawa pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Sebelum ini, Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, BN tidak berhasrat berkempen secara agresif sebaliknya mengamalkan pendekatan sama dengan penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, iaitu kempen secara berhemah.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain menyifatkan pendekatan 'sentuhan peribadi' yang digunakan kedua-dua calon adalah satu langkah terbaik dan paling berkesan.

Beliau berkata sebelum ini kedua-dua calon tidak berkesempatan menemui pengundi di kawasan itu kerana kesibukan kerja, dan langkah itu adalah yang terbaik bagi membolehkan pengundi mengenali mereka dengan lebih dekat dalam tempoh masa terhad.

"Rakyat luar bandar seperti di DUN Sungai Limau, mereka memang berkehendakan 'sentuhan peribadi' seperti ini. Saya berpendapat kedua-dua calon tidak begitu rapat dengan pengundi. Jadi, mereka terpaksa berjumpa dengan pengundi secara individu," katanya.

Ditanya suasana kempen pilihan raya yang suram dengan perang poster, Ahmad Atory berkata perkara itu tidak mendatangkan kesan negatif kepada parti kerana perkembangan teknologi membantu pengundi mendapat maklumat hanya di hujung jari mereka.

PRK DUN Sungai Limau akan diadakan 4 November ini bagi mengisi kekosongan kerusi DUN itu berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak dari PAS.

EKSKLUSIF : Pendedahan Amanat Arwah Ustaz Azizan - Hj Shukri


Jika sebelum ini kebanyakan penganut agama PAS begitu taksub dengan amanat sesat Haji Hadi yang mengkafirkan sesama islam, hari ini admin dimaklumkan bahawa salah seorang saudara kepada mantan ADUN Sungai Limau, Allahyarham Ustaz Azizan Razak telah tampil dengan sehelai kertas yang didakwa sebagai amanat terakhir Allahyarham.

Haji Shukri bin Haji Ismail. Itulah penama yang dikatakan menulis amanat yang dituturkan oleh Allahyarham 3 minggu sebelum meninggal dunia.

Mungkin bakal ada yang mengatakan ini adalah propaganda murahan dari Barisan Nasional untuk merampas DUN Sungai Limau yang sememangnya kubu kuat PAS.

Namun bagi admin, setiap apa yang dituliskan di dalam kertas yang diedarkan itu ada asasnya.

Kerana terlalu islamiknya Ustaz Azizan, kita lihat sahaja ketika beliau terlantar di Hospital Besar Pulau Pinang, ramaikah pemimpin Pakatan Rakyat yang datang menjengah? Senang diucap... HARAMM...

Kita lihat pula Mukriz, sekalipun berbeza ideologi partisan, masih mampu meluangkan masa datang menjenguk.




Fikir- fikirkan sebelum membuat pilihan.

Saya tidak khianati Azizan - Mukhriz



JERAI  - Datuk Mukhriz Mahathir menegaskan, beliau tidak pernah mengkhianati janji apabila diminta oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak supaya menjaga Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, Kuin kini dijaga sebaik mungkin menerusi cara pentadbirannya yang tersendiri dengan memastikan kebajikan warga kolej universiti berkenaan terbela.

Katanya, beliau bukan jenis mungkir janji tetapi perlu dilihat juga apa janji yang dibuat.

"Allahyarham minta saya menjaga Kuin dan saya berjanji akan jaga. Jadi itu yang saya buat. Saya tafsirkan apabila Allahyarham menyebut supaya menjaga Kuin itu maksudnya menjaga warga Kuin, tidak semestinya bangunan kerana itu hanya fizikal.

Yang kita hendak jaga warga Kuin," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dulang di sini hari ini.

Mukhriz mengulas mengenai isu yang dimainkan oleh pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau kononnya beliau enggan meneruskan legasi Allahyarham Azizan termasuk melibatkan kampus Kuin.

Mereka juga menuduh Menteri Besar Kedah tersebut mengkhianati amanah yang diberikan oleh Azizan berhubung Kuin.

Mukhriz berkata, beliau tidak pelik apabila pelbagai persepsi ditimbulkan mengenai beliau kerana dalam PRK seperti ini, ia merupakan masa untuk perkara seperti itu disensasi atau dipolitikkan.
Tegas beliau, apa pun keputusan yang diambil oleh kerajaan negeri, ia akan dipastikan bertepatan dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.

Mukhriz, semua pihak memahami apabila berlaku peralihan kuasa pentadbiran, Menteri Besar baharu yang akan menentukan hala tuju kerajaan negeri.

"Apatah lagi peralihan kuasa ini berlaku antara dua parti berbeza. Tiada istilah yang mana Menteri Besar baharu yang datang dari parti berbeza mewarisi tanggungjawab daripada pihak sebelumnya.
"Kita mempunyai hak eksekutif untuk membuat keputusan sendiri. Yang penting kepentingan warga Kuin tentu diberi keutamaan," ujar beliau.

Justeru, kata Mukhriz, tidak timbul isu sama ada beliau mengkhianati janjinya terhadap Allahyarham Azizan yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau.
"Ia tidak langsung berlaku. Kalau hendak cerita pasal khianat ini, saya ingat ada orang lain yang lebih mengkhianati," katanya.

Pas politikkan kenyataan TPM berkenaan kencing manis



JERAI - Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Pas mempolitikkan kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung penyakit kencing manis bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. 
 
Sehubungan itu, kata Mukhriz, Timbalan Perdana Menteri tidak berniat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.

"Saya berada di situ sewaktu beliau (Muhyiddin) berucap... Dia cuma sentuh mengenai Bajet 2014, kemudian membangkitkan isu pemansuhan subsidi gula dan antara lain mengenai masalah penyakit kencing manis.

"Penyakit kencing manis ini sangat berleluasa di negeri Kedah... Itu sahaja niat beliau (Muhyiddin). Tidak ada langsung nak mengatakan apa pun selain daripada itu," kata Mukhriz kepada Bernama dan RTM ketika ditemu bual di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Mukhriz yang juga Pengerusi BN Kedah meminta orang ramai tidak melihat secara negatif kenyataan Muhyiddin itu.

Katanya, Pas tidak mempunyai niat lain dalam isu itu, selain bertujuan mempolitikkan isu, namun beliau yakin penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memahami hal sedemikian.

"Saya ingat tidak perlu kita layan sangat perkara seperti itu (tindakan Pas mempolitikkan kenyataan itu), kerana ia langsung tiada kaitan dengan apa yang sedang kita lakukan di DUN Sungai Limau iaitu satu pilihan raya kecil di mana keputusan yang akan dibuat pengundi ini mestilah berasaskan perkara berkait dengan masa depan mereka (pengundi) sendiri," katanya. - BERNAMA.

Pas kitar semula isu jalan uzur, rosak



JERAI - Isu berkaitan jalan uzur dan rosak di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang dimainkan oleh Pas ketika berkempen merupakan satu isu kitar semula bagi memperoleh sokongan pengundi pada pilihan raya kecil kawasan itu, Isnin ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pendekatan kitar semula isu-isu melibatkan jalan raya merupakan langkah yang diambil Pas bagi menidakkan bantuan yang telah diberikan Kerajaan Pusat kepada rakyat.

"Sepatutnya perkara ini (jalan uzur dan rosak) tidak dibangkitkan semasa pilihan raya kecil, seharusnya dibangkitkan lebih awal jadi saya fikir isu yang dibangkitkan ini hanya isu kitar semula untuk meraih simpati politik.

"Pas tidak ada isu yang konkrit di Sungai Limau ini sebab itu mereka mengitar semula isu-isu untuk mempengaruhi rakyat supaya berfikiran negatif kepada kerajaan.

"Dari segi program dan projek yang dilaksanakan di Sungai Limau ini khususnya dah banyak program bukan sahaja melibatkan jalan raya, ada program penyelenggaraan jalan kampung serta banyak lagi yang kita laksanakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian seminar Asas Penyelenggaraan Bangunan dan Kerja-kerja Mengecat di surau Sungai Lentang di sini hari ini.

Menurut Rosnah, Pas telah diberikan peluang untuk memerintah Kedah selama lima tahun dan mereka mempunyai pelbagai peluang untuk memajukan infrastruktur di negeri ini namun mereka tidak menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya.

Monday 28 October 2013

Mukhriz lucu, tergelak dengan isu gambar PAS



Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berasa lucu dengan penjelasan PAS yang menyalahkan pereka grafik berhubung kontroversi gambar calonnya yang diubahsuai untuk menunjukkan beliau mesra dan rapat dengan bekas menteri besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

NONE"Saya rasa terkejut, tergelak dan rasa pelik kenapa kempen kecil ini sanggup buat-buat foto ini untuk tunjuk hubungan calon dengan Azizan," kata Mukhriz pada sidang media petang tadi.

Menurutnya, taktik sedemikian adalah petunjuk jelas yang PAS sebenarnya merendah-rendahkan kebijaksanaan pengundi Sungai Limau.

"Saya ingat itu tak sepatutnya berlaku," katanya pada sidang media selepas majlis di Sekolah Menengah Kebangsaan Dulang, petang tadi.

"Ini penghinaan kepada pengundi seolah-olah mereka ini tak boleh buat penilaian yang bijaksana."

PAS pagi tadi menyalahkan pereka grafik yang mengubahsuai melalui pertindihan gambar calonnya bertemu dengan almarhum Tan Seri Azizan Abdul Razak di pejabat beliau seperti dimuatkan dalam risalah kempen mereka sebelum ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang bertindak sebagai pengarah operasi pilihan raya PAS di Sungai Limau berkata pihaknya tidak ada niat untuk "mengada-adakan sesuatu yang tidak ada".

Beliau ju aberjanji akan menyiasat perkara itu dengan pereka grafik risalah tersebut.

Mahfuz: Jamil Khir tiada di rumah masa bapanya berdoa



Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertahankan kenyataannya sebelum ini yang mendakwa bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom mendoakan kejayaan PAS dalam pilihan raya kecil N20 Sungai Limau.

Menurutnya, Jamil Khir tiada di rumah sewaktu lawatan itu berlangsung.

"Dia tak ada dalam itu. Dia bukan ada pun dalam (lawatan) itu.

"Dia bukan hadir pun masa bapa dia tadah tangan berdoa itu," katanya sewaktu diminta mengulas kontroversi lawatan itu.

Menurutnya lagi, beliau cukup mengenali Baharom Ramli, 77 tahun, yang telah lama bergiat dengan PAS.

"Saya faham dia ahli PAS, dia mengaku dia bayar yuran, cukuplah setakat itu.

"Tak apalah Datuk Jamil kata saya tak betul tak apa, tapi saya faham bapa dia sebab saya lama dengan bapa dia.

"Saya faham bapa dia kerana bapa dia itu jiwanya PAS, original PAS," kata Mahfuz lagi.

Beliau bagaimana pun berharap perbezaan politik dalam keluarga Jamil Khir tidak menjadi isu besar buat Jamil sepanjang kempen pilihan raya kecil Sungai Limau berlangsung.

"Tak apalah, biarlah. Saya tak mahulah mengheret perbalahan keluarga mereka," katanya ringkas.

Jamil Khir semalam mendakwa bapanya hanya sekadar mengaminkan doa yang dibaca PAS sewaktu mereka menziarahi bapanya di rumah mereka di Kampung Sedaka, Yan.

Dakwanya lagi, bapanya kini tertekan secara moral apabila ziarah itu dijadikan modal kempen PAS dalam kempen pilihan raya yang sedang berlangsung.

PAS salahkan grafik ubahsuai gambar calon



PAS hari ini menyalahkan pereka grafik yang mengubahsuai (superimpose) gambar calonnya bertemu dengan almarhum Tan Seri Azizan Abdul Razak di pejabat beliau seperti dimuatkan dalam risalah kempen mereka sebelum ini.

Menurut anggota Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah, pihaknya tidak ada niat untuk "mengada-adakan sesuatu yang tidak ada" dan akan menyiasat perkara itu dengan pereka grafik yang mereka risalah itu.

"Saya akan siasat dan kita bertanggungjawab untuk memperbetulkan perkara ini," katanya yang bertindak sebagai pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil Sungai Limau.

Tambahnya lagi, PAS sendiri sebenarnya ada banyak gambar calon mereka bersama Azizan dan tidak perlu berbuat demikian untuk mengelirukan penduduk Sungai Limau.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian PAS di pusat operasi mereka pagi tadi.

Tindakan pertindihan gambar (superimpose) itu didedahkan akhbar Sinar Harian hari ini.

Risalah mirip akhbar harian

Gambar asal memaparkan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Muhammad Mat Yakim bersama Ketua Biro Utara, Mohd Idros Mohd Ali bertemu Azizan di pejabatnya pada 25 Mei 2011.

Namun, gambar Muhamad Mat Yakim diganti dengan gambar calon PAS Mohd Azam Abd Samat.

Mohd Idros yang hadir sendiri ke sidang akhbar PAS pagi tadi turut mengajukan soalan berkenaan risalah itu yang menggunakan kepala akhbar (masthead) bertulis 'Sinar Sungai Limau' yang hampir Sinar Harian.

Menjawab pertanyaan itu, Amiruddin berkata orang ramai tidak mungkin tersalah anggap yang risalah itu adalah sama dengan akhbar Sinar.

"Saya ingat tak timbul isu, nama dia Sinar Sungai Limau.

"Saya ingat dari segi tulisan yang digunakan, tak ada persamaan langsung dengan Sinar Harian," katanya.

Pembangkang guna isu harga padi tarik undi



JERAI  - Golongan pesawah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang memainkan isu harga padi sebagai antara bahan kempen mereka bagi menarik sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan berkenaan 4 November ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) F-IV Sungai Limau Dalam, Datuk Ismail Arshad berkata, ini kerana banyak lagi subsidi dan insentif yang diberikan oleh kerajaan bagi mengurangkan beban dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, harga minimum terjamin padi ialah sebanyak RM750 satu tan metrik tetapi kadar jualan semasa lebih tinggi iaitu antara RM1,120 hingga RM1,150 bagi jumlah berat yang sama.

"Malah ada kilang yang membeli lebih daripada harga berkenaan. Selain itu pendekatan yang diambil kerajaan ialah berkempen supaya pesawah dapat meningkatkan hasil tanaman. Ini kerana jika hasil lebih, pendapatan mereka juga bertambah. Namun sekiranya harga padi naik tetapi hasil tidak meningkat, pendapatan mereka pun tidak banyak berubah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan Pas yang menggunakan isu harga padi dalam kempen PRK DUN Sungai Limau termasuk dalam ceramah mereka.

Menurut Ismail, pesawah kini menikmati pelbagai subsidi dan insentif menerusi program transformasi pertanian yang dilaksanakan kerajaan yang membantu meringankan beban mereka untuk mengusahakan sawah selain meningkatkan pendapatan.

Antaranya, kata beliau, ialah tambahan subsidi harga padi sebanyak RM248.10 satu tan, Skim Baja Padi Padi Kerajaan Persekutuan melibatkan baja sebatian dan urea (RM170.39 serelung semusim) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi RM69.05 serelung semusim meliputi baja organik serta upah membajak.

"Begitu juga dengan Insentif Pengeluaran Padi dan Beras Negara iaitu baja campuran dan racun perosak sebanyak RM175.77 serelung untuk satu musim," katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut memperkenalkan Skim Perlindungan Takaful Padi manakala pesawah yang menyertai projek estet padi turut menerima isentif Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) bagi meningkatkan hasil pertaniang masing-masing.

Di PPK F-IV Sungai Limau Dalam, sekurang-kurangnya 240 pesawah terlibat dan projek sawah bersepadu berkenaan dengan jumlah insentif yang dikeluarkan kepada perserta bagi musim 1/2013 sebanyak RM83,5934.

Katanya, kesungguhan kerajaan memartabatkan sektor pertanian dan perladangan sebagai agenda penting negara terbukti apabila sentiasa menerima peruntukan besar setiap tahun.
"Dalam Belanjawan 2014, sektor ini mendapat RM6 bilion dengan lebih RM2 bilion melibatkan pelbagai pemberian subsidi dan insentif pertanian melibatkan industri padi serta beras negara," katanya.

Sehubungan itu, Ismail berharap para pesawah memanfaatkan pelbagai bantuan tersebut dan tidak terpengaruh dengan taktik pembangkang yang memainkan isu harga padi selain meminta mereka bersyukur dengan apa yang ada.

Beliau juga mengingatkan semua pihak berhubung firman Allah dalam surah Al-A'raf ayat 144 yang menegaskan, '... sebab itu berpegang teguhlah kepada apa yang Aku berikan kepadamu dan hendaklah kamu termasuk orang bersyukur'.

Isu ZIPY : Terserah kehendak penduduk

Mukhriz mahathir, Ahmad Maslan (dua dari kanan) dan Ahmad Bashah Hanipah menunjukkan isyarat bagus selepas majlis Perasmian Pusat Transformasi Komuniti Bergerak di Simpang Tiga, Sungai Limau, Jerai, Kedah, semalam.


JERAI  - Keputusan sama ada projek mega Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) di sini dengan nilai pelaburan berbilion ringgit akan diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada kehendak penduduk di kawasan terlibat.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri telah menegaskan bahawa secara umumnya sebarang projek pembangunan yang ingin dibawa ke mana-mana kawasan di Kedah perlu mendapat maklum balas daripada masyarakat di situ.

Justeru, menurut beliau, rakyat tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri tidak akan melakukan perkara yang merugikan mereka.

"Jika ada tentangan yang berasas terhadap mana-mana projek, maka kita akan pertimbangkannya semula," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Hanipah di- Sungai Limau di sini semalam.

ZIPY yang ditukar kepada projek Sungai Limau Hidrokarbon Hub (Sulihh) selepas Pas mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2008 itu adalah projek penapisan minyak di kawasan laut yang ditambak di Sungai Limau, di sini dan minyak mentah dari Asia Barat akan diimport serta diproses dieksport semula ke China dan negara Asia lain apabila loji tersebut siap.

Menurut Mukhriz, dalam soal ZIPY, kerajaan negeri ada menerima rungutan daripada masyarakat yang mengusahakan bendang di kawasan persisiran pantai Yan di Sungai Limau.

Berikutan itu, kata beliau, meskipun kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk membina zon industri petroleum yang bernilai berbilion ringgit namun masih terdapat masalah sebagaimana yang disebutkan.

"Maka kita tangguhkan dahulu. Hendak kata batal pun, itu terpulang kepada masyarakat di situ. Kalau dirasakan atas sebab tertentu mungkin mereka sudah tukar fikiran, maka barulah kita boleh mempertimbangkan semula," jelasnya.

Sementara itu, mengenai Mobile CTC, beliau berkata, ia merupakan usaha yang menunjukkan komitmen dan kesungguhan kerajaan dalam membawa kesejahteraan rakyat dengan mendekatkan perkhidmatan penting kepada mereka.

Kata beliau, penduduk boleh mendapatkan pelbagai perkhidmatan seperti permohonan Mykad, lesen memandu, pemeriksaan mata, pos bergerak dan khidmat nasihat keusahawanan.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan akan meneruskan sesi berjumpa rakyat di seluruh negara menerusi program Mobile UTC.

Kata beliau, bagi meningkatkan lagi keberkesanan program berkenaan, bilangan bas dan van akan ditambah sebagaimana yang disebutkan dalam pembentangan Belanjawan 2014 kelmarin.

RM50j untuk institusi pendidikan Islam bukan 'gula-gula' PRK

ASHIQ Elahi Mat Desa bersama pelajar pondok di hadapan sekolah pondok baharu yang telah dimodenkan setelah dibantu oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz Mahathir di Pondok Bukit Kobah, Pendang, Kedah, semalam.


PENDANG  - Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) Cawangan Kedah yakin peruntukan RM50 juta dalam Bajet 2014 bagi membantu institusi pendidikan Islam di negara ini seperti sekolah pondok bukan 'gula-gula' kerajaan bagi meraih sokongan pengundi.

Timbalan Pengerusinya, Ashiq Elahi Mat Desa berkata, pembentangan bajet itu secara kebetulan jatuh semasa tempoh kempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Sungai Limau sedang berjalan.

"Bagi saya bukan gula-gula sebab kita tengok sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi kerajaan telah berjanji untuk membantu kita tetapi ada kawan-kawan yang tidak percaya janji kerajaan ini.

"Kini peruntukan yang saya kira terbesar di dalam sejarah negara telah diberikan kepada institusi pendidikan Islam dan saya nampak ada keikhlasan di pihak kerajaan untuk membantu sekolah-sekolah agama rakyat dan juga sekolah pondok.

"Memang kebetulan bajet dibentang dalam musim PRK ini dan kalau ada pihak yang kata peruntukan ini hanya 'gula-gula' untuk tarik sokongan, kerajaan juga telah umumkan pemansuhan subsidi gula yang tentunya akan mengurangkan populariti kerajaan sepanjang kempen PRK ini," katanya ketika ditemui di Maahad Al-Fathoni Pondok Bukit Kobah, di sini hari ini.

Menurutnya, pihak yang mentadbir sekolah-sekolah pondok, sekolah agama rakyat serta sekolah agama bantuan kerajaan perlu bersyukur dengan peruntukan yang telah diberikan bagi menaikkan martabat institusi agama di negara ini.

"Bagi saya itu namanya orang dah buat jasa baik kepada kita kita patut balas budi yang baik itu.
"Kerajaan pun tak paksa kita mengundi kerajaan, dia bagi ikhlas,setiap undi adalah rahsia dan di sebelah rakyat kita patut kenang jasa orang yang bagi pada kita.

"Bila kerajaan tak bantu, dikatanya kerajaan zalim tak bantu sekolah agama. Sebenarnya tak layak untuk rakyat tuduh kerajaan ini tak Islamik sebab kerajaan bersungguh-sungguh menjaga agama Islam," jelasnya. - Utusan.

Sunday 27 October 2013

PAS Bimbang Gagal Pertahan Majoriti DUN Sungai Limau



YAN: Selepas hari ke lima berkempen, PAS mula membayangkan bahawa parti itu berkemungkinan gagal mempertahankan majoriti besar yang dimenanginya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, walaupun yakin parti itu boleh mempertahankan kemenangan di DUN Sungai Limau pada pilihan raya kecil 4 November ini, namun beliau turut mengakui menghadapi tentangan sengit daripada Barisan Nasional (BN).

"Kita menghadapi cabaran yang cukup hebat daripada jentera BN.

"Perkara ini amat kita bimbangi dalam usaha untuk pertahankan kerusi DUN Sungai Limau," katanya kepada mStar Online pada Ahad.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat menentang wakil BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim.

PAS menghadapi tekanan untuk mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang menjadi kubu kuat parti itu seelepas bekas penyandangnya, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak memenangi kawasan berkenaan selama lima penggal sejak 1995.

Azizan mengekalkan kerusi itu pada PRU-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Sementara pada sidang media harian jentera pilihan raya PAS, Mahfuz yang juga Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau berkata, beliau sedia mengumumkan jangkaan jumlah majoriti undi yang boleh diperoleh parti itu nanti.

"Saya akan umumkan berapa majoriti yang kita jangka boleh peroleh dalam sehari dua ini.
"Hanya boleh umumkan selepas saya lihat dahulu serangan yang sedang kita hadapi sekarang," katanya.

Jamil Khir kata bapanya hanya amin doa



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar bahawa bapanya Baharom Ramli mahu PAS menang dalam pilihan raya kecil Sungai Limau.

Katanya, bapanya tidak menyatakan sedemikian dan hanya mengaminkan doa ketika kunjungan Mahfuz dan calon PAS Mohd Azam Abd Samat, ke rumah tersebut di Kampung Sedaka, Kedah.

Jamil Khir mendakwa, tindakan pemimpin parti terbabit tidak mengikut adab kerana membaca doa untuk PAS semasa menziarah.
"Itu Mahfuz yang kata, tak ada pun Haji Baharom sebut begitu," katanya yang menyifatkan dakwaan PAS sebagai “mainan politik yang sangat rendah”.

Menurutnya, tindakan PAS itu menyebabkan bapanya, 77, yang lumpuh akibat serangan angin ahmar sejak tiga tahun lalu kini dalam keadaan tertekan.

"Bapa saya pun ada sebut dia tertekan dari sudut moral. Bila orang ziarah orang baca doa, dia pun tak tahu apa orang itu hendak sebut dia tolong aminkan saja.

"Bila begitu dia (PAS) kata bapa saya baca doa (untuk PAS) pula... Ada ke pergi rumah orang pi bagi kenyataan media di pintu rumah orang. Adab pun dah tak betul," katanya lagi.

Ditanya lanjut, Jamil Khir bagaimanapun enggan mengesahkan mengenai keanggotaan bapanya dalam PAS dan hanya menyatakan bahawa ia satu dakwaan Mahfuz.

Harakahdaily pada hari Jumaat lalu melaporkan kenyataan Mahfuz bahawa Baharom, mendoakan agar PAS terus menang di Sungai Limau dan berhasrat untuk bertemu timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu. - Mkini.

Pelepasan Waktu Bekerja Pengundi DUN Sungai Limau - MB

 
YAN: Kakitangan awam Kerajaan Negeri Kedah yang menjadi pengundi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau diberi pelepasan waktu berkerja untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian 4 November depan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pemberian pelepasan waktu bekerja merupakan langkah terbaik tanpa perlu mengisytiharkan cuti umum kepada seluruh rakyat negeri ini.
Keputusan berkenaan sekaligus menolak cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar supaya kerajaan negeri mengisytiharkan cuti umum bagi memudahkan pengundi yang terlibat dalam PRK Sungai Limau melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Saya juga ingin cadangkan kepada pihak swasta supaya mengambil langkah yang sama serta tidak mengenakan tindakan terhadap pekerja masing-masing.

"Cadangan Mahfuz langsung tidak boleh diterima kerana pengundi DUN Sungai Limau hanya melibatkan kira-kira 27,000 pengundi tapi beliau minta cuti kepada kira-kira dua juta rakyat Kedah yang lain," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera Puteri Umno di Sungai Limau Dalam di sini, Ahad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November (Isnin) depan yang jatuh pada hari bekerja sebagai hari pengundian bagi PRK Sungai Limau susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

PRK DUN Sungai Limau menyaksikan saingan satu lawan satu antara calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat menentang wakil Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim. - Mstar.

Sg Limau: TPM gesa ibubapa, guru sokong calon BN



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir bertemu dengan ibubapa pelajar dan guru sekolah-sekolah di sekitar daerah Kuala Muda dan Yan pagi ini.

Kira-kira 1,500 orang menghadiri majlis ini yang dinamakan 'Majlis Perjumpaan TPM merangkap menteri pendidikan bersama waris pelajar dan warga pendidik daerah Kuala Muda/Yan'.

Dalam ucapannya dalam kawasan Sekolah menengah Kebangsaan Sungai Limau itu,  Muhyiddin menggesa hadirin agar mengundi calon BN pada 4 November nanti.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, yang juga bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan persaingan satu lawan satu antara calon PAS Mohd Azam Abd Samat dan calon BN Ahmad Sohaimi Lazim.

Menurut Muhyiddin lagi, gesaan itu adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan beliau.

"Kalau saya tak ambil peluang ini untuk minta tuan-tuan dan puan-puan sokong kita, tak adil bagi saya"

"Saya minta tuan-tuan sokong calon kita Ahmad Sohaimi Lazim," kata Muhyiddin. - Mkini.

Jamil Khir sifatkan ziarah PAS lawatan politik



Tindakan PAS menziarahi Baharom Ramli - ayah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom - yang menghidap sakit angin ahmar sejak tiga tahun, disifatkan menteri itu sebagai satu 'lawatan politik'.

Beliau bagaimanapun 'berterima kasih' kepada PAS atas kunjungan yang dibuat dua hari lalu ke rumah ibu-bapanya di Kampung Ulu Sedaka, Yan.

"Terima kasihlah pi (pergi). Terima kasih atas lawatan politik," kata Jamil Khir ringkas kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sewaktu diminta mengulas kunjungan itu yang dilakukan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat itu dua hari lalu.

Jamil Khir bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan akan berbuat demikian dalam sidang media.

Mahfuz sebelum ini dipetik sebagai berkata yang ayah Jamil Khir berjanji kepadanya untuk mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil ini kerana beliau didakwa merupakan ahli PAS dan membayar yuran keahlian setiap tahun.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dalam reaksinya semalam kesal PAS menggunakan lawatan itu untuk memperolehi kelebihan politik apabila berita tentang lawatan itu dimuat naik pada masa lawatan itu berlangsung.

Menurutnya, ia berbeza dengan BN yang turut mengunjungi balu almarhum Tan Seri Azizan Abdul Razak tetapi tidak pula menghebahkanya seperti PAS. - Mkini.

Penganalisis: PAS Rangka Strategi Kurangkan Pengaruh Mukhriz



YAN, -- Tatkala kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau memasuki hari keempat, jentera PAS dilihat lebih fokus kepada usaha mengurangkan kredibiliti Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Kalangan penganalisis politik berpendapat PAS sudah mula merencanakan strategi bagi mengurangkan pengaruh politik Mukhriz pada PRK ini yang melibatkan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS Mohamad Azam Abd Samat.

Ini termasuk membangkitkan isu kononnya Mukhriz ditolak oleh anggota Umno sendiri ekoran kegagalan beliau merebut jawatan naib presiden pada pemilihan parti yang lepas, di samping mendakwa Menteri Besar itu masih dibayangi bapanya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut mereka, PAS kelihatan gusar dengan gaya kepimpinan Mukhriz yang lebih mesra rakyat sekali gus mencerminkan personaliti yang hampir sama dengan bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dari PAS yang merupakan penyandang kerusi DUN Sungai Limau sejak pilihan raya umum (PRU) 1995.

"Sifat yang mesra kepada rakyat adalah antara faktor mengapa Azizan begitu disenangi pihak kawan mahupun lawan. Dan Mukhriz bukannya cuba mengikut gaya Azizan kerana itu memang keperibadian dia sendiri," kata penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Nasrudin Mohamed kepada Bernama.

Nasrudin berkata PAS dilihat akan memanfaatkan sebaiknya peluang ini bagi mengembalikan keyakinan rakyat Kedah kepada mereka apatah lagi parti itu sedang mengalami penurunan populariti apabila negeri ini jatuh kembali ke tangan BN.

Katanya, kedua-dua pihak sedar kemenangan ke atas kerusi DUN Sungai Limau tidak dapat mengubah fakta bahawa Kedah akan terus dipimpin oleh BN ekoran kedudukan semasa ialah BN menguasai 21 kerusi dan pakatan pembangkang 14 kerusi.

Namun, beliau berpendapat PRK ini adalah peluang terbaik bagi PAS untuk memastikan Mukhriz tewas dalam usahanya pertama kali memimpin jentera BN sebagai Menteri Besar di samping memperoleh semula keyakinan rakyat kepada PAS.

"Apatah lagi dengan cara Mukhriz yang lebih gemar turun berjumpa dengan rakyat tempatan bagi mendengar permasalahan mereka, berkampung bersama dan menjadi sebahagian dari masyarakat tempatan, khususnya di DUN Sungai Limau.

"Kerana bagi mereka Mukhriz merupakan pemimpin generasi baharu BN yang dilihat mampu memimpin Kedah untuk jangka masa melebihi satu penggal seandainya tiada usaha dilakukan untuk menjatuhkan beliau," katanya.

Oleh itu, menurut Nasrudin, PAS dan pakatan parti pembangkang akan menggunakan pelbagai cara bagi memastikan kredibiliti Mukhriz menurun ekoran popularitinya semakin meningkat dalam kalangan rakyat tempatan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Faisol Keling yang sependapat dengan Nasrudin berkata PAS sedang mengalami dilema untuk memastikan calon pilihan mereka sama taraf atau lebih baik daripada Allahyarham Azizan sendiri.

"Antara masalah yang dihadapi jentera PAS ialah untuk meyakinkan rakyat setempat bahawa mereka boleh gantikan tempat Ustaz Azizan.

"Ini mungkin dari segi ketandusan isu untuk diketengahkan...malah kekalahan pada pilihan raya umum baru-baru ini menjadi satu beban kepada mereka untuk mencari jalan dalam usaha mengembalikan keyakinan rakyat kepada mereka," katanya.

Mohd Faisol berkata, jika PAS terlalu mengkhususkan usaha kepada menjatuhkan Mukhriz, ini boleh mengakibatkan masyarakat DUN Sungai Limau curiga terhadap keikhlasan mereka kerana isu kebajikan rakyat yang harus menjadi keutamaan di dalam berkempen.

"Inilah antara perkara yang perlu rakyat, khususnya penduduk Sungai Limau nilai dari segi keikhlasan, meletakkan kepentingan masyarakat melebihi agenda politik berkepentingan," katanya.

Pengundian PRK DUN Sungai Limau akan diadakan pada 4 Nov ini bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Azizan pada 26 Sept lepas.

-- BERNAMA

Saturday 26 October 2013

PRK Sungai Limau: Hijrah sokong BN bukan satu dosa


JERAI  - Penduduk Sungai Limau tidak perlu berasa terikat atau berdosa untuk berhijrah kepada kehidupan lebih baik dengan mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kawasan itu, 4 November ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 'penghijrahan' itu menuntut keberanian pengundi dengan melihat sokongan mereka terhadap BN sebagai usaha untuk membawa perubahan positif yang lebih besar di DUN tersebut.

Beliau turut mengingatkan penduduk Sungai Limau yang majoritinya umat Islam berhubung firman Allah dalam surah Ar-Ra'ad ayat 11 yang menegaskan, sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka.

''Sungai Limau tidak akan banyak berubah jika saudara-saudari tidak membuat perubahan dari warna hijau ke warna biru.Berhijrah dari Pas kepada UMNO tidak salah. Tiada hukuman kata ini satu dosa besar,'' katanya pada majlis perjumpaan bersama waris murid dan warga pendidikan Daerah Kuala Muda/ Yan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Limau di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk melaksanakan projek menaik taraf 12 bangunan sekolah di dalam DUN Sungai Limau.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, para pengundi tidak perlu mempercayai jika ada pihak-pihak tertentu mengatakan kononnya mereka akan berdosa jika menyokong UMNO.

Tegas beliau, UMNO yang menunjangi kerajaan BN mempertahankan akidah, memperjuangkan Islam termasuk dengan membangunkan pelbagai institusi dan enakmen agama Islam.

Berikutan itu kata Timbalan Perdana Menteri, tidak salah apabila beliau hendak merayu penduduk Sungai Limau memberi satu peluang dan ruang kepada BN kerana ia bukan satu perkara tidak baik.
"Kalau di peringkat negara dan negeri ditadbir oleh BN, mengapa tidak di peringkat DUN Sungai Limau wakil rakyat yang dipilih ialah calon BN.

"Lebih mudah buat kerja, lebih banyak pembangunan dapat kita lakukan dan bantuan-bantuan yang dapat kita turunkan untuk memperbaiki kehidupan kita di Sungai Limau," katanya. - UTUSAN ONLINE

PRK Sungai Limau: Mohd Azam Rayu Liputan Seimbang


YAN: Calon PAS, Mohd Azam Abdul Samat merayu supaya diberikan liputan pemberitaan yang seimbang serta tidak hanya menyajikan maklumat sehala kepada pengundi sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Menurut beliau, media seharusnya memainkan peranan sebagai penyalur maklumat secara keseluruhan tanpa berpihak kepada mana-mana parti politik yang bertanding.

"Saya harap seluruh wartawan dapat berikan liputan yang adil dan benar.

"Ini penting supaya kita tak hanya sogokkan pengundi dengan maklumat sehala...tapi biarlah secara seimbang," katanya pada Sabtu.

Sementata itu mengulas mengenai perkembangan kempennya selepas masuk hari keempat berkempen, Mohd Azam berkata beliau bersyukur dengan sambutan yang diberikan.

Katanya beliau percaya pengundi sudah menerima maklumat yang tepat mengenai tawarannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Sungai Limau.

"Penerimaaan pengundi di sini baik...Alhamdulillah. Kita juga sedar semua pengundi merupakan mereka yang bijak untuk membuat pilihan.

"Mereka telah didedahkan dengan maklumat iaitu merujuk kepada bukan sahaja maklumat yang sehala tapi pelbagai (saluran) maklumat," katanya. - Mstar.

Friday 25 October 2013

Mukhriz Ragui Keikhlasan Pemimpin PAS


YAN: Keikhlasan ramai pemimpin PAS peringkat pusat ketika kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dipersoalkan sama ada kebanjiran mereka mahu memenangkan calon pilihan raya atau berkempen untuk masa depan politik mereka sendiri.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, beliau meragui komitmen pemimpin pembangkang berkampung di kawasan ini memandangkan PAS bakal berhadapan dengan pemilihan parti November depan.

"Kita sudah letak ke tepi semua yang kita buat selama musim kempen (pemilihan Umno) dan sekarang ini 100 peratus tumpuan kita kepada pilihan raya kecil di sini.

"Ianya sangat berbeza dengan pihak PAS kerana pemilihan mereka adalah pada bulan November.

"Jadi hadirnya pemimpin mereka untuk berkempen (di Sungai Limau) adakah untuk memenangkan calon atau kempen untuk diri mereka sendiri," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan BN di sini, Jumaat.

Menteri Besar Kedah itu berkata demikian sebagai reaksi balas mengenai modal kempen pembangkang yang cuba menjatuhkan imejnya apabila tewas pada saingan merebut jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti itu baru-baru ini.

Mahfuz dakwa tawaran pembangunan BN satu ugutan


JERAI  – Pas amat memahami sepanjang menguasai  kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, parti itu tidak berupaya  membawa apa-apa pembangunan yang mampu meningkat taraf hidup  penduduk.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila Pas menganggap langkah Barisan Nasional  (BN) yang mengingatkan penduduk bahawa kawasan itu akan ketinggalan dari segi  pembangunan jika terus memilih Pas sebagai ‘perbuatan mengugut’ pengundi.

Dakwaan terhadap BN itu dibuat oleh Pengarah Jawatan Kuasa Induk PRK Pas,  Datuk Mahfuz Omar yang menegaskan, pengundi sepatutnya diberikan kebebasan untuk  memilih calon yang mereka suka.

“Kita mahu kempen pilihan raya ini berlangsung dalam keadaan harmoni, tenang  dan bersih. Ketenangan kepada pengundi untuk membuat pilihan memilih wakil  mereka amat diperlukan.

Namun, apa yang berlaku sekarang adalah BN menggunakan  strategi terdesak mengugut pengundi bahawa jika tidak pilih calon BN, kawasan  ini tidak akan membangun dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar di sini  hari ini.

Yang turut hadir, calon Pas bagi PRK Sungai Limau, Azam Abd. Samat.
Tidak cukup dengan itu, Mahfuz turut mendakwa, BN membuat tawaran kepada  pengundi untuk menunjukkan gambar kertas undi yang dipangkah mereka bagi  mendapatkan ‘habuan’.

Calon PAS, Mohd. Azam Ciplak Slogan Najib?


JERAI  – Calon Pas, Mohd. Azam Abdul Samad mungkin  berpengalaman dalam bidang pendidikan kerana pernah menjadi guru agama selain  memegang jawatan Penolong Kanan Sekolah Agama An- Nahdzar.

Namun Mohd. Azam perlu lebih kreatif ketika berkempen dengan berusaha  memperkenalkan slogannya sendiri.

Malam tadi, ketika berceramah bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi  Awang di Kampung Titi Batu, pemegang ijazah sarjana muda Syariah Islamiah dari  Universiti Al- Azhar, Mesir itu telah “menciplak” slogan yang diperkenalkan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertemu penyokongnya.

Mohd.  Azam yang bersemangat berceramah meminta diberikan peluang kerana beliau mahu  melihat rintihan dan mendengar denyut nadi rakyat iaitu ungkapan yang  diperkenalkan oleh Najib sejak 2010 selepas melakukan pelbagai program  transformasi negara.

Beliau berkata, selama lima penggal berturut-turut Pas menang Dewan Undangan  Negeri (DUN) Sungai Limau dan berharap supaya terus diberikan peluang untuk  meneruskan legasi Pas di situ.

“Ini kerana Pas tidak pernah melakukan gerakan Islam yang boleh  mengkucar-kacirkan masyarakat dan di sini walaupun berbeza fahaman politik, kita  adalah adik -beradik,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...